norhayati_nordin@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Kira-kira 1,000 penggiat industri seni yang belum mempunyai akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mendapat tajaan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk membuka akaun i-Saraan.
Berita gembira itu diumumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam ucapannya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri 2025 anjuran Finas di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, inisiatif itu diperkenalkan di bawah program Pelindung yang menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada tenaga kerja industri yang sering terpinggir, termasuk krew bebas dan pekerja belakang tabir.
“Inisiatif program Pelindung ini digerakkan oleh Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) bersama Finas sebagai usaha menyeluruh untuk menyediakan perlindungan sosial kepada penggiat seni kita.
“Ia adalah jalinan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan KWSP untuk penggiat seni agar boleh menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) serta i-Saraan KWSP dengan tanpa had umur.
“Ini juga satu pelaburan jangka panjang untuk masa depan dan kebajikan mereka. Oleh itu, Finas akan menaja pembukaan akaun i-Saraan KWSP kepada 1,000 orang penggiat industri yang masih belum mempunyai akaun,” katanya
Fahmi berkata, kuota ini dibuka sehingga September ini dan keutamaan diberikan kepada penggiat seni yang belum mempunyai akaun KWSP.
“Inisiatif ini bukan saja membuka jalan kepada simpanan hari tua, tetapi juga memberi mesej jelas bahawa kerajaan tidak meminggirkan mereka yang selama ini bertungkus-lumus membina industri dari belakang tabir.
“Selain itu, hari ini juga kita menyaksikan detik bersejarah dengan pelancaran rasmi Gafema yang ditubuhkan pada 21 Ogos 2023 dan kini diiktiraf oleh Finas,” katanya.
Menurut Fahmi, pelancaran Gafema adalah sebagai gabungan induk industri yang diwakili kira-kira 16 persatuan dalam industri termasuk penerbit, pengarah, krew teknikal, penulis skrip dan animator.
“Dalam Gafema menghimpunkan 16 persatuan seperti penerbit, pengarah, pekerja teknikal, animator, penulis skrip, pos-produksi dan banyak lagi sebagai satu entiti kolektif untuk memperjuangkan hak, kebajikan dan pembangunan industri.
“Saya juga menyambut baik sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) daripada Gafema kepada Finas sebagai simbol komitmen bersama untuk memperkukuh dasar-dasar industri,” jelasnya.
Sebelum itu, Gafema turut menyerahkan MoU kepada Kementerian Komunikasi melalui Finas sebagai tanda solidariti dan usaha bersama membangunkan dasar-dasar industri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




