PRK Ayer Kuning: Jangan 'overconfident' – Zambry Kadir

PRK Ayer Kuning: Jangan 'overconfident' – Zambry Kadir

am@hmetro.com.my

Tapah: Jentera Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diingatkan agar tidak membuat kenyataan yang menggambarkan gabungan itu terlebih yakin atau ‘overconfident’ dapat mencapai kemenangan dalam PRK itu ketika berkempen.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau tidak mahu melihat orang lain melihat mereka bersifat bongkak, atau menampakkan terlalu yakin (overconfident).

“‘Style’ (cara) kita di BN adalah sentiasa terus bekerja untuk rakyat tanpa membuat kenyataan keterlaluan, pada masa sama tidak bermain sentimen rakyat yang boleh merosak dari segi kedudukan dan kehidupan rakyat kita.

“Ini cara kita berkempen melalui BN ini,” kata Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi sewaktu ditemui pemberita pada Program Outreach KPT@Tapah: Pelaksanaan Aktiviti Kursus Pendek Komuniti oleh Kolej Komuniti Chenderoh dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Sementara itu, Zambry berkata DUN Ayer Kuning di dalam Parlimen Tapah dianggap sebagai pelengkap yang menggambarkan keharmonian antara tiga kaum utama, apabila ketiga-tiga wakil rakyat dalam kawasan parlimen Tapah mewakili tiga kaum utama negara ini.

“Parlimen Tapah adalah antara contoh ketiga-tiga kaum (Melayu, Cina, India) dapat bekerjasama dengan begitu baik sekali sebab kita (di Parlimen Tapah) ada wakil rakyat daripada tiga kaum ini.

“Saya berharap supaya semua pihak menjaga keharmonian agar menjadi satu simbol yang baik.

“Saya tak fikir di kawasan lain ada (seperti ini) walaupun ini bukanlah kali pertama,” kata Zambry yang juga bekas Menteri Besar Perak.

Sebagai rekod, terdapat dua DUN berada dalam kawasan Parlimen Tapah iaitu DUN Chenderiang dengan Choong Shin Heng selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu, manakala Allahyarham Ishsam Shahruddin selaku Adun Ayer Kuning sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top