am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pelbagai cubaan dilakukan pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam serbuan di gudang di Seksyen 28 di sini, semalam.
Antaranya, menyorok di celah mesin dan kenderaan, melarikan diri ke premis sebelah serta berlari keluar.
Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, keseluruhan 52 Pati berusia 23 hingga 45 tahun ditahan membabitkan seorang warga Indonesia, 11 warga Myanmar, 13 warga Pakistan dan 27 warga India.
“Dalam operasi itu, tiada yang bertindak agresif dan tiada yang mempunyai senjata berbahaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi Ops Sapu itu bermula 3 petang membabitkan 18 pegawai diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohd Asrul Hazdlyzan Zakaria.
Katanya, semua tahanan dihantar ke Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
© New Straits Times Press (M) Bhd