Linda mahu cerai, Beego nak pertahankan rumah tangga

Linda mahu cerai, Beego nak pertahankan rumah tangga

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, memilih ibunya, Roshidah Elias sebagai wakil untuk proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Beego yang tiba bersama Roshidah dan peguam, Akmal Amzan kira-kira jam 11 pagi berkata, dia tetap berusaha mempertahankan rumah tangga yang dibina dengan isterinya yang juga pelakon, Linda Hashim.

“Harapan saya masih sama. Kalau boleh nak cuba selamatkan rumah tangga,” katanya.

Sementara itu, Linda yang tiba pada jam 11.16 pagi bersama peguam, Nurul Fadzilah Kamaluddin pula menampilkan bapa saudaranya, Johaini Arif sebagai wakilnya.

“Bapa tak dapat datang. Dia di kampung dan kini berkerusi roda. Bapa saudara memang uruskan kami kahwin dulu,” katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah.

Ditanya harapannya, Linda atau nama sebenarnya, Norhazlinda Hashim memaklumkan nekad untuk bercerai dengan Beego.

“Kita dah bertahun-tahun berbincang dan tiada kesudahan. Jadi, saya mengharapkan pengakhiran yang baik. Tak nak ada apa-apa masalah.

“Saya harap semua berjalan lancar. Apa-apapun yang terjadi saya mengharapkan selepas ini kita masih lagi boleh berdamai sebab anak-anak.

“Kalau Beego enggan lepaskan mungkin saya akan ikut juga, tapi kita akan failkan benda lain juga nanti,” katanya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak perempuan, Jelita Clarissa, 11; Anggun Cassandra, 10; dan Indah Camelia, 6.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top