am@hmetro.com.my
Changlun: Harga pasaran emas yang dijangka terus meningkat sehingga mencecah antara RM500 hingga RM700 satu gram tahun ini, menyebabkan orang ramai terus membuat pembelian untuk simpanan.
Kenaikan harga itu mencetuskan fenomena luar biasa sehingga menyebabkan orang ramai melakukan pembelian untuk mendapatkan emas pada harga semasa.
Pemilik kedai emas di Changlun, Elee Salmi Ishak, 49, berkata ada juga segelintir pelanggan menunggu harga emas turun namun malangnya ia tidak berlaku kerana harga tidak banyak berubah.
Katanya, sejak awal tahun ini harga emas menyaksikan kenaikan lebih RM50 per gram membuatkan ramai individu mula menyedari ia boleh membawa keuntungan.
“Malah ramai yang mulai sedar, jika tidak beli sekarang, harga mungkin terus naik dan mereka akan terlepas peluang.
“Dijangkakan keadaan ini akan berterusan disebabkan emas bukan hanya menjadi aset pelaburan yang menguntungkan, tetapi juga mampu menjadi simpanan jangka panjang yang kukuh,” katanya ketika ditemui hari ini.
Dalam pada itu, Elee Salmi berkata fenomena kenaikan harga emas menyebabkan permintaan meningkat secara drastik hinggakan stok bekalan emas cepat habis di pelbagai platform di negara ini.
Katanya, dia melihat pembelian emas berlaku secara mendadak malah kilang emas juga dikatakan tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan.
“Mereka yang membeli emas dua hingga tiga bulan lalu sangat beruntung, mereka sudah menikmati keuntungan daripada kenaikan harga ini,” katanya.
Dalam pada itu katanya, ramai pemilik emas tampil menjual koleksi emas mereka untuk menikmati margin keuntungan yang tinggi, memandangkan harga pasaran berada pada tahap yang amat menguntungkan.
“Ramai ibu bapa datang ke sini membawa duit raya anak untuk membeli emas kerana itu antara simpanan yang boleh digunakan selain menyimpan wang di bank,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai emas di Jitra, Jamal Hayat Ali, 36, berkata, kenaikan harga emas mendadak sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu namun orang tetap membelinya.
Katanya, ada pelanggan yang suka membeli jongkong emas untuk simpanan manakala ada juga yang lebih gemar membeli barang kemas untuk dipakai.
“Di Kedah biasanya harga emas naik atau tidak, memang akan ada orang beli walaupun harganya meningkat setiap hari.
“Mereka bimbang apabila berlaku kenaikan yang agak tinggi, memang tidak berpeluang untuk mendapatkannya walaupun hari ini harga naik RM465 satu gram,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Norzarina Ismail, 40, dari Gunung Keriang, Alor Setar berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk membeli emas ketika ini walaupun harga semakin meningkat.
Katanya, disebabkan harganya yang terlalu tinggi dia hanya membeli emas yang agak ringan beratnya.
“Saya akan tunggu harga turun sedikit dan akan membelinya tetapi sekarang memang harga emas turun naik setiap hari,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd