Kontroversi kenyataan pempengaruh Jofliam yang memperlekeh wanita melahirkan anak menggunakan kaedah epidural terus mengundang kecaman termasuk daripada penyanyi tersohor, Ernie Zakri.
Menerusi platform X, Ernie meluahkan rasa kesal terhadap sikap Jofliam yang merendah-rendahkan pengorbanan bekas isterinya, Cik Epal, hanya kerana memilih untuk bersalin dengan bantuan epidural.
Dalam satu ciapan balas, Ernie menyokong kempen boikot perniagaan Jofliam yang dilancarkan netizen, sambil menulis secara berseloroh namun bunyinya tegas.
”Nak join sekalilah, sebab kitonyo geng epi epi (epidural) juga,” tulisnya.

Kenyataan Ernie itu segera meraih perhatian ramai, dengan majoriti warganet tampil memberikan sokongan penuh terhadap pendirian beraninya.
Terdahulu, beberapa tangkap layar memaparkan perbualan peribadi Jofliam bersama seorang individu di Instagram tular di media sosial.
Dalam perbualan itu, Jofliam dilihat mempersoalkan tahap pengorbanan bekas isterinya kerana tidak mengalami ‘kesakitan sebenar’ semasa melahirkan anak-anak mereka, Han dan Yuki hanya kerana menggunakan epidural.
Kenyataan tersebut disifatkan tidak sensitif dan menjatuhkan martabat kaum ibu yang melalui pelbagai cabaran sewaktu melahirkan.
Menyedari kesilapan besar yang dibuat, Jofliam akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka dan mengumumkan akan menghadiahkan bunga serta pizza wagyu berbentuk hati secara percuma kepada pelanggan ibu mengandung sebagai usaha menebus keterlanjurannya.




