WASHINGTON – Kira-kira 12 negeri di Amerika Syarikat (AS) mencabar perang tarif pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa di Manhattan.
Di bawah tuntutan saman difailkan pada Rabu itu, mereka mendakwa Trump melangkaui Kongres dengan pengumuman duti secara besar-besaran di bawah undang-undang ekonomi kecemasan.
“Trump telah menggugat Perlembagaan dan mencetuskan huru-hara kepada ekonomi Amerika,” menurut kandungan aduan bersama dikemukakan Oregon, Colorado, Connecticut, New Mexico, Vermont, Nevada, Delaware, Minnesota, Maine, New York, Illinois dan Arizona.
Tuntutan diketuai New York itu memfokuskan kepada penggunaan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa yang diluluskan lima dekad lalu bagi menghalang Presiden menyalahgunakan kuasa darurat.
“Alasan Trump seperti defisit perdagangan dan isu lain tidak membolehkan beliau menggunakan akta tersebut sewenang-wenangnya. Ia hanya boleh digunakan jika berdepan ancaman luar biasa,” jelas aduan itu lagi.
Sebelum ini, saman serupa juga pernah dikemukakan California, perniagaan kecil dan ahli suku Blackfeet Nation di Montana yang menuntut mahkamah membatalkan tarif termasuk cukai yang dikenakan di seluruh dunia termasuk ditangguhkan Trump pada 9 April lalu.
Kesemua negeri itu menegaskan perang levi itu akan menyebabkan kadar cukai yang tinggi ke atas pengguna Amerika.
“Presiden sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menaikkan tarif sesuka hati, namun perkara itu yang dibuat Trump. Beliau berjanji untuk menurunkan harga dan meringankan kos sara hidup. Tetapi, cukai mengarut diumumkan Trump memberi kesan sebaliknya kepada keluarga Amerika,” ujar Peguam Negara New York, Letitia James.
Pendirian Trump yang berubah-ubah dan sering membuat pusingan U turut ‘menggoncang’ pasaran global sehingga kini.
Sementara itu, jurucakap Rumah Putih, Kush Desai mempertahankan keputusan Trump meskipun dikecam banyak pihak malah ia menyifatkan tuntutan undang-undang itu sebagai pemburuan politik terhadap Presiden tersebut. – AFP
Info:
>Keputusan kaji selidik Pew Research Centres mendapati penilaian kerja Trump telah menurun kepada 40 peratus berbanding 47 peratus pada Februari lalu. Angka itu adalah jauh lebih rendah berbanding 59 peratus diraih pendahulunya, Joe Biden pada April 2021.
>Secara keseluruhan, purata penarafan prestasi Trump untuk tempoh tiga bulan pertama adalah sebanyak 45 peratus. Kadar itu lebih rendah berbanding Presiden AS lain yang dilantik selepas pasca Perang Dunia Kedua.
>Tinjauan itu juga menunjukkan rakyat Amerika hilang keyakinan terhadap keupayaan Trump untuk menangani isu utama seperti ekonomi.
>Kaji selidik Economist/YouGov mendapati 54 peratus rakyat AS percaya ekonomi negara itu makin buruk berbanding 37 peratus pada Januari lalu.