Team Vamos harap terus rentak kemenangan

Team Vamos harap terus rentak kemenangan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Team Vamos berharap dapat meneruskan rentak kemenangan dalam perlawanan menentang pendatang baharu, Ocean Black pada minggu kedua Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia Musim ke-15 di Stadium Juara, Bukit Kiara, esok.

Bagi pemain Team Vamos, Zul Hisham Mohd Noor, kemenangan sulung ke atas pasukan Rey pada minggu pertama memberi sedikit tonik untuk pemain bangkit selepas dikecewakan oleh Selangor Red Giants (SRG.OG) dalam aksi pembukaan.

Malah, Zul Hisham yang lebih dikenali sebagai Xorn menggesa rakan sepasukan terus mempamerkan semangat juang dengan memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

“Saya berharap kami boleh bermain seperti mana kami beraksi ketika menentang SRG.OG kerana kalau ikutkan prestasi kami ketika itu, perlawanan pertama itu adalah sebahagian daripada persediaan kami sebelum MPL.

“Saya harap kami dapat lupakan apa yang terjadi ketika lawan pasukan Rey,” katanya.

Xorn mengakui prestasi pasukan ketika ini masih kurang baik, namun mereka akan terus memperbaiki kekurangan itu kerana sasaran utama mereka tetap untuk muncul juara dan memperoleh tiket ke peringkat antarabangsa.

Dalam aksi pembukaan MPL minggu lalu, hasrat Team Vamos untuk membalas dendam tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada SRG.OG, sebelum bangkit menewaskan pasukan Rey 2-1.

Untuk aksi seterusnya, Team Vamos dilihat sebagai pilihan untuk menang, tetapi mereka perlu berhati-hati dengan pasukan Ocean Black yang dijangka mampu memberikan tentangan sengit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top