am@hmetro.com.my
Nilai: ‘Berlakon’ seolah-olah tiada orang dalam rumah, namun selepas pihak berkuasa berjaya memecahkan jeriji serta pintu menemukan warga asing sedang bersembunyi dalam gelap dan panas.
Takut, itu alasan yang diberikan pasangan warga Indonesia yang mengaku sudah berkahwin dan bersembunyi di dalam rumah di Jalan Desa Palma, Bandar Baru Nilai di sini, ketika Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan pemeriksaan malam tadi.
Selepas pemeriksaan lanjut dilakukan didapati lelaki yang berusia 31 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen dan tidak bekerja sejak awal bulan lalu, manakala ‘isterinya’ berusia 45 tahun memberi alasan pasportnya berada di pejabat JIM.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Jafri Embok Taha berkata, serbuan itu bermula 8.30 malam membabitkan beberapa apartment dan medan perniagaan.
“Kebanyakannya dihuni warga asing dari pelbagai negara dan terdapat juga segelintir daripada mereka yang berkahwin dengan warga tempatan, membuka premis perniagaan sini atas nama pasangan.
“Didapati juga ramai warga asing ini melepak di premis perniagaan ini dengan alasan untuk makan dan minum sekali gus menimbulkan kegusaran penduduk setempat.
“Terdapat juga pemilik rumah warga tempatan yang menyewakan kediaman mereka kepada warga asing menyebabkan berlaku lambakan warga asing di kawasan ini,” katanya ketika sidang media selepas serbuan.
Mengulas mengenai serbuan, beliau berkata, pihaknya memeriksa seramai 260 warga asing dan seramai 49 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Ia membabitkan dua lelaki dan empat perempuan warganegara Indonesia, tujuh lelaki Bangladesh, 14 lelaki Myanmar, empat lelaki Nepal, lapan lelaki dan seorang wanita warga India, lima lelaki Pakistan, dua lelaki Nigeria serta dua lelaki Yaman,” katanya.
Menurutnya, ada segelintir warga asing yang cuba melarikan diri, bersembunyi dan tidak memberikan kerjasama dengan tidak membuka pintu bagi mengelak ditahan.
Katanya, semua Pati yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 60 tahun ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng di sini, untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




