3 sekolah di Kedah masih ditutup

3 sekolah di Kedah masih ditutup

bhnews@nstp.com.my

ALOR SETAR: Sebanyak tiga sekolah di Kedah masih ditutup berikutan terdapat penularan kes COVID-19 yang aktif di situ.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang, berkata sekolah terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK), Mergong, di daerah Kota Setar membabitkan Kluster Dinamik dan Maktab Mahmud Baling membabitkan Kluster Jalan Weng.

Katanya sebuah lagi sekolah adalah SMK Baling membabitkan Kluster Anggerik Cempaka.

“Semua sekolah terbabit akan ditutup selama tujuh hari lagi setelah beberapa hari ditutup sebelum ini. Kita rawat mereka di dua tempat, pelajar positif yang berada pada kategori dua dan tiga mereka akan dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di hospital dan yang lain dirawat di asrama.

“Kita tengok pada situasi kerana terdapat juga pelajar yang tidak tinggal di asrama, yang ini kita akan pantau aktiviti harian pelajar terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Malaria Sedunia peringkat negeri Kedah di Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, di sini, hari ini.

Hadir merasmikan majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Fikri berkata pihaknya kini giat mengesan kontak rapat di kalangan pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Katanya, JKN turut memasang banting peringatan di kawasan zon merah serta meningkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan kerjasama agensi lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top