hafizithnin@mediaprima.com.my
BERMULA hanya sekadar hobi, guru al-Quran berusia 30 tahun itu tidak menyangka ia menjadi titik tolak kepadanya untuk berkecimpung di dalam dunia ternakan dan memproses daging segar arnab pedaging.
Muhammad Shahmi Che Salim berkata, dia mula mempunyai sembilan ekor arnab pertamanya pada 2019. Ketika itu, dia hanya mengeluarkan modal kira-kira RM1,000 termasuk kos menyediakan sangkar dan keperluan lain.
Jelasnya, selepas empat bulan dia memelihara arnab berkenaan, haiwan itu sudah membiak kepada 20 ekor hasil daripada tujuh induk betina yang bunting pada ketika itu.
“Apabila melihat kepada arnab yang saya pelihara sebagai hobi ini mempunyai jumlah yang banyak, ibu bapa daripada murid-murid saya mula bertanya kerana ingin membeli dagingnya.
“Jadi, ia menjadi titik tolak untuk saya berada di dalam bidang penternakan arnab pedaging. Sehingga kini, saya mempunyai 200 ekor arnab yang diternak di Langgar, Kedah,” katanya.
Muhammad Shahmi berkata, daging arnab mempunyai permintaan yang cukup tinggi di pasaran dan dia juga tidak mampu menyediakan bekalan yang secukupnya kerana setiap bulan permintaan antara 500 kilogram hingga ke satu tan.
Jelasnya, dia kini bekerjasama dengan rakan-rakan yang mempunyai ternakan haiwan berkenaan untuk membekalkan daging arnab di pasaran sekitar Kedah. Namun, ia masih lagi tidak mencukupi.
“Arnab yang saya ternak ini akan dijual dari segi induk kepada penternak baharu dan saya juga memproses daging segar arnab untuk dijual di pasaran selain membuat minyak daripada lemak haiwan berkenaan.
“Harga daging segar arnab pedaging ini boleh dikatakan agak tinggi di pasaran iaitu antara RM35 hingga RM37 sekilogram. Ia sentiasa mendapat permintaan di pasaran untuk dijadikan menu dalam makanan,” katanya.
Jelasnya, semua arnab yang diternaknya dibela di dalam sangkar khas yang mempunyai sistem saliran air automatik bagi memastikan haiwan itu mendapat minum air yang secukupnya.
“Arnab ini adalah haiwan yang minum air dengan kerap dan kita perlu memastikan ia mempunyai air bersih yang secukupnya. Jika arnab tidak diberikan minuman dalam masa sehari sahaja, ia boleh mati.
“Berbanding makanan, arnab boleh bertahan untuk tidak makan dua hingga tiga hari. Malah, haiwan ini hanya perlu makan sekali sahaja sehari dengan pelbagai jenis makanan yang sesuai dengan dietnya sekitar 100 gram untuk seekor,” katanya.
Katanya, dia memberikan makanan jenis palet dan pelbagai jenis daun seperti alfafa, timoti, napiel, ketum ayam dan pelbagai jenis daun lain lagi yang sesuai untuk arnab.
“Daun selalunya saya akan berikan pada jam 10 pagi dan setiap hari daun yang diberikan juga berbeza. Manakala, untuk palet saya akan berikan pada sebelah petang sekitar jam 6 petang.
“Untuk menternak arnab ini tidaklah begitu sukar selagi kita mempunyai pengetahuan untuk menjaganya dengan baik. Saya sering mendapatkan maklumat menerusi menyertai kursus ternakan dan juga bertanya dengan penternak yang berpengalaman,” katanya.
Katanya, antara perkara lain yang perlu dititik beratkan dalam penternakan haiwan itu adalah bagi memastikan sangkarnya dalam keadaan bersih kerana jika sentiasa penuhi dengan najis boleh menyebabkan jangkitan penyakit.
“Di tempat ternakan saya ini, seminggu dua kali saya akan bersihkan secara menyeluruh sangkar arnab ini dan setiap hari akan membersihkan najisnya. Arnab boleh mendapat penyakit kerana keadaan sangkar yang kotor dan akhirnya menyebabkan kematian.
“Selain itu, arnab juga boleh mati sekiranya makanan yang diberikan tidak sesuai dengan dietnya. Antara simptom yang boleh dilihat ialah arnab akan mengalami ciri birit dan akhirnya mati.
“Tambahan pula, arnab tidak boleh hidup dalam keadaan yang terlalu panas atau bising yang menyebabkan ia merasa tertekan selain boleh menjejaskan kesihatannya,” katanya.
Katanya, arnab mempunyai usia matang yang agak cepat berbanding haiwan ternakan yang lain iaitu pada usia lima bulan dan ketika usia berkenaan, ia boleh membiak,” katanya.
Katanya, dia seronok menjadi penternak arnab kerana haiwan itu mempunyai permintaan yang tinggi dan juga kadar pembiakan yang tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




