Tiga maut, seorang parah dalam kemalangan

Tiga maut, seorang parah dalam kemalangan

bhnews@bh.com.my

PADANG TERAP: Tiga maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Kampung Padang Lanjut, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 4.40 petang tadi, dua daripada mangsa terbabit tersepit dalam kereta Proton Wira manakala dua lagi mangsa iaitu pembonceng dan penunggang motosikal Yamaha Y15 yang mana seorang daripadanya meninggal dunia.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 4.45 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang yang disertai tujuh anggota dan diketuai Johari Saad tiba di lokasi pada jam 4.53 petang.

“Mangsa membabitkan tiga lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki namun umur mereka tidak dapat dipastikan.

“Bagaimanapun seorang daripadanya dipercayai cedera parah dan identiti yang masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan menaiki Jentera EMRS BBP Kuala Nerang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top