Sekurang-kurangnya 82 maut dalam kebakaran hospital Covid

Sekurang-kurangnya 82 maut dalam kebakaran hospital Covid

BAGHDAD: Kebakaran dicetuskan tangki oksigen yang meletup di sebuah hospital yang merawat pesakit Covid-19 membunuh sekurang-kurangnya 82 orang dan mencederakan 110 yang lain, kata jurucakap kementerian dalam negeri Iraq.

“Kita perlu menyemak semula langkah keselamatan di semua hospital untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang,” kata jurucakap kementerian, Khalid al-Muhanna ketika mengumumkan jumlah kematian dalam siaran langsung di televisyen kebangsaan.

Kebakaran berlaku pada Sabtu di Hospital Ibn Khatib di ibu negara Iraq.

Seorang saksi yang melawat abangnya di hospital itu berkata, dia melihat orang ramai terjun dari tingkap untuk menyelamatkan diri.

“Kebakaran merebak pantas. Saya membawa abang keluar ke jalan raya sebelum kembali masuk ke dalam hospital itu.

“Saya menemui seorang remaja perempuan berusia sekitar 19 tahun sedang lemas dan hampir mati.

“Saya mengangkatnya dan berlari turun. Orang ramai terjun dari tingkap… Ada doktor terjun dan jatuh atas kereta,” katanya.

Perdana Menteri Mustafa al-Kadhimi mengarahkan siasatan dilakukan.

“Kejadian seperti itu bukti kecuaian berlaku dan saya mahu siasatan segera dilakukan, selain pengurus dan ketua keselamatan serta penyelenggaraan ditahan sehingga pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti,” katanya.

Scroll to Top