saufi@mediaprima.com.my
Isu keselamatan siber yang semakin kompleks sebenarnya memerlukan penyelesaian menyeluruh bermula dari pendedahan menerusi pendidikan sehingga kepada penyelesaian tenaga kerja pakar.
Negara kini berdepan cabaran besar dalam bidang keselamatan siber apabila kekurangan tenaga pakar yang kritikal mengancam keselamatan digital negara.
Menerusi peningkatan pesat dalam transformasi digital dan ancaman siber yang semakin canggih, keperluan terhadap tenaga kerja mahir dalam bidang ini menjadi semakin mendesak.
Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, negara memerlukan sekurang-kurangnya 27,000 pakar keselamatan siber menjelang akhir tahun 2025.
Namun, setakat ini, hanya terdapat sekitar 15,000 pakar yang berkhidmat dalam bidang ini, meninggalkan jurang lebih daripada 12,000 tenaga kerja yang perlu diisi dalam tempoh kurang daripada setahun.
Beberapa faktor dikenal pasti menyumbang kepada kekurangan ini antaranya ialah tawaran gaji yang lebih rendah berbanding negara jiran seperti Singapura yang mengakibatkan ramai pakar tempatan memilih untuk bekerja di luar negara.
Sebagai contoh, gaji permulaan dalam bidang keselamatan siber di Malaysia sekitar RM3,200, manakala di Singapura, ia boleh mencecah SGD3,000 iaitu jika ditukar kepada mata wang tempatan kira-kira RM10,500.
Selain itu, kurangnya pendedahan dan kesedaran mengenai kerjaya dalam bidang keselamatan siber dalam kalangan pelajar dan masyarakat umum turut menyumbang kepada isu ini.
Ramai yang masih tidak menyedari potensi dan kepentingan bidang ini dalam era digital.
Kekurangan pakar keselamatan siber memberi kesan langsung terhadap keupayaan negara untuk menangani ancaman siber.
Menurut kajian Palo Alto Networks, Malaysia mencatatkan peningkatan 51 peratus dalam insiden serangan siber pada tahun lalu, menjadikannya negara paling terkesan di Asean.
Serangan seperti ransomware, pancingan data (phishing) dan pelanggaran data semakin kerap berlaku menjejaskan sektor kritikal seperti perbankan, kesihatan dan infrastruktur awam.
Bagi menangani isu ini, kerajaan mengambil beberapa langkah proaktif antaranya ialah penubuhan Akademi Keselamatan Siber Malaysia yang dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2025 dengan matlamat melatih lebih 26,000 tenaga kerja mahir dalam bidang keselamatan siber.
Selain itu, kerjasama dengan syarikat antarabangsa seperti BlackBerry membawa kepada penubuhan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) yang menawarkan latihan dan pensijilan bertaraf antarabangsa kepada rakyat Malaysia.
Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) turut diharap dapat membantu mengurangkan beban kerja pakar keselamatan siber dengan mengautomasi proses pengesanan dan tindak balas terhadap ancaman siber.
Namun, penggunaan AI juga memerlukan tenaga kerja yang mahir untuk mengendalikan dan memantau sistem itu.
Kekurangan pakar keselamatan siber di negara ini adalah isu yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta amat penting dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang ini.
Hanya dengan usaha bersepadu, Malaysia dapat memastikan keselamatan digital negara terjamin dalam menghadapi cabaran dunia siber yang semakin kompleks.
© New Straits Times Press (M) Bhd




