am@hmetro.com.my
Kuantan: Syarikat tenaga boleh baharu dari Belanda, Wilhelmina Malaysia Energy Sdn Bhd, menubuhkan sebuah loji perintis untuk menukar sisa kelapa sawit kepada pelet hitam TG2, iaitu sumber tenaga boleh baharu.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, syarikat itu menggunakan teknologi canggih bagi memproses sisa kelapa sawit menjadi pelet yang boleh menggantikan arang batu dengan berkesan.
“Wilhelmina Malaysia Energy menubuhkan loji perintis di Malaysia untuk mempamerkan potensi ini. Jepun sudah menunjukkan minat yang kuat dan sedang melalui proses perolehan.
“Saya menggalakkan pemain industri sawit untuk menyertai inisiatif ini dengan memperuntukkan 10 hingga 20 peratus tandan buah kosong (EFB) mereka bagi menyokong rantaian bekalan.
“Ini akan membantu meningkatkan pengeluaran dan meletakkan Malaysia sebagai pengeksport global bagi pelet hitam TG2,” katanya dalam kenyataan selepas melawat loji berkenaan di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini, hari ini.
Johari juga menggesa pengusaha kilang kelapa sawit untuk melawat loji berkenaan bagi melihat sendiri teknologi yang digunakan, termasuk operasi dan manfaatnya kepada alam sekitar.
“Inisiatif ini adalah langkah penting ke arah mewujudkan ekonomi kitaran dan menambah nilai kepada industri sawit negara,” katanya.
Pada masa sama, Johari berkata, lawatannya hari ini bertujuan mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai teknologi inovatif yang digunakan untuk menukar sisa kelapa sawit kepada tenaga boleh baharu.
Beliau diberi taklimat mengenai sistem pemprosesan menyeluruh loji itu, yang merangkumi penerimaan dan pencucian bahan mentah (langkah awal), diikuti proses letupan stim, cucian kedua dan peringkat akhir pengeringan serta pembentukan pelet.
Katanya, hasil akhir, pelet hitam TG2, mampu menggantikan arang batu dalam penjanaan kuasa.
Johari berkata, lawatan itu mencerminkan komitmen kementerian dalam menyokong inovasi lestari dan bernilai tambah dalam sektor sawit, terutama yang selaras dengan objektif alam sekitar Malaysia dan aspirasi ekonomi hijau negara.
Sementara itu, dalam kenyataan di Facebook, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memaklumkan, kemudahan biojisim seluas 9.2 hektar milik Wilhelmina Malaysia Energy di sini sebagai pengeluar pelet hitam TG2, iaitu biojisim torrefikasi generasi kedua yang dihasilkan daripada EFB sawit.
KPK berkata, dengan kapasiti tahunan sebanyak 80,000 tan, kemudahan itu menggunakan teknologi moden seperti letupan stim, pembentukan pelet, rawatan air kitar semula dan penghasilan biogas.
Pada Mac tahun lalu, Wilhelmina dilapor akan melabur AS$60 juta (RM259.65 juta) untuk menubuhkan loji pelet hitam TG2 pertama di dunia yang akan menukar sisa pertanian seperti EFB kepada pelet hitam TG2.
© New Straits Times Press (M) Bhd




