16 keunikan Masjid Nabawi patut kita tahu

16 keunikan Masjid Nabawi patut kita tahu

MUSIM haji tahun 1446 Hijrah sudah tiba dan bermula Selasa, jemaah haji kumpulan pertama melakukan penerbangan pada pukul 4.05 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jemaah seramai 284 orang itu menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 dan akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 7.50 pagi waktu tempatan, hari sama.

Kesemua mereka akan melakukan ziarah di Madinah Munawwarah terlebih dahulu sebelum memasuki Makkah al-Mukarramah beberapa hari kemudiannya.

Mengambil keberkatan dan kelebihan berada di bumi Madinah, pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun berkongsi 16 keunikan yang menarik di Masjid Nabawi dan Madinah.

USTAZAH ASMA'

USTAZAH ASMA’

“Alhamdulillah, saya dan para jemaah tiba di Tanah Suci Madinah al-Munawwarah, tempat yang sangat istimewa dan tenang. Kota yang penuh dengan kerinduan buat seluruh umat Islam.

“Kami kongsikan 16 keunikan menarik di Masjid Nabawi, mudah-mudahan bertambah rasa rindu dan keinginan untuk hadir ke sini,” jelasnya di Facebooknya pada Selasa.

Menurutnya, Masjid Nabawi merupakan masjid kedua paling suci selepas Masjidil Haram.

“Di sinilah terletaknya makam Rasulullah SAW dan masjid ini asalnya dibina sendiri oleh Baginda, bersebelahan dengan rumah yang Baginda diami selepas peristiwa Hijrah pada tahun 622 Masihi,” hurainya.

16 keunikan di Masjid Nabawi, Madinah al-Munawwarah:

1 – Raudah

Raudah merupakan salah satu tempat mulia yang terletak di dalam Masjid Nabawi antara rumah Nabi Muhammad SAW di sebelah timur dan mimbar Masjid Nabawi di sebelah barat.

Dalam masjid ini, ia menjadi tempat beribadah yang utama, tempat turunnya wahyu, majlis ilmu dan sebagainya serta disebut juga sebagai taman syurga.

Bagi umat Islam yang hadir ke sini, ia merupakan salah satu tempat yang amat mustajab untuk berdoa dan kebanyakan jemaah yang hadir akan merebut peluang untuk masuk ke kawasan Raudah bagi menunaikan solat serta berdoa.

2 – Payung gergasi simbolik Masjid Nabawi

Payung Masjid Nabawi atau Masjid Nabawi Umbrellas merupakan payung gergasi yang boleh dibuka di dataran Masjid Nabawi.

PAYUNG Masjid Nabawi atau Masjid Nabawi Umbrellas merupakan payung gergasi yang boleh dibuka di dataran Masjid Nabawi. Foto Canva

PAYUNG Masjid Nabawi atau Masjid Nabawi Umbrellas merupakan payung gergasi yang boleh dibuka di dataran Masjid Nabawi. Foto Canva

Ia dibentangkan di empat sudut dan kawasan yang meliputi naungan sepanjang 143,000 meter persegi.

Konsep ini pada asalnya daripada Raja Abdullah bin Abdul Aziz yang mengarahkan pembinaan payung untuk​ dataran masjid yang siap dibina pada Ogos 2010.

Pada permulaannya, terdapat 182 payung yang menjajarkan tiang masjid di dataran dan kemudiannya 68 payung ditambah di dataran timur. Keseluruhan projek berjumlah 4.7 bilion Riyal.

Fungsi payung ini adalah untuk melindungi jemaah-jemaah daripada panas matahari semasa solat serta daripada risiko tergelincir dan jatuh sekiranya hujan. Struktur sama turut dibina di dataran masjid seluruh dunia.

3 – Masjid kedua terbesar di dunia

Masjid Nabawi menjadi masjid terbesar kedua di dunia selepas Masjidil Haram di Kota Makkah.

Masjid ini didirikan oleh Baginda SAW pada tahun 632M. Kemudian pembesaran pertama dibuat oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan seterusnya hingga ke hari ini.

Ukuran keluasan Masjid Nabawi selepas pembesaran terakhir ialah tingkat bawah seluas 165,500 meter persegi. Dengan keluasan ini ia boleh menampung seramai 257,000 orang jemaah.

Masjid Nabawi sekarang mempunyai 27 buah kubah bergerak, 543 buah kamera bagi mengawal keadaan di luar dan dalam masjid, empat buah eskalator serta 18 buah tangga.

Kedudukannya di tengah-tengah bandar Madinah al-Munawwarah menjadikannya seperti bulan purnama dan permata yang bersinar, sesuai dengan peranannya sebagai sumber cahaya dan keindahan Islam.

4 – Enam imam dan 17 muazin

Masjid Nabawi mempunyai kira-kira enam orang imam iaitu Sheikh Abdul Mohsen al-Qasim, Sheikh Saleh al-Badir, Sheikh Ahmed Bin Humaid an-Nuaimi, Sheikh Abdullah bin Abdul Rahman, Sheikh Khaled al-Muhanna dan Sheikh Ahmed bin Ali al-Hudhaifi.

Muazin pertama di Masjid Nabawi adalah sahabat Nabi Muhammad SAW, Bilal Bin Rabah. Masjid ini kini mempunyai 17 orang muazin.

Antara muazin utama di Masjid Nabawi ialah Sheikh Abdul Rahman Khashogi. Setiap hari, tiga muazin berganti mengumandangkan azan dari Mukabbariyyah iaitu tempat khusus untuk muazin.

5 – Jumlah pekerja Masjid Nabawi lebih 1,600 orang

Pembersihan masjid dilakukan dalam tiga kali pertukaran waktu bekerja iaitu selepas solat Subuh, Isyak dan pada awal pagi.

Setiap pertukaran waktu melibatkan 1,000 orang petugas kebersihan. Mereka membersihkan lantai, kotoran pada tiang-tiang masjid serta payung gergasi yang menaungi pekarangan Masjid Nabawi.

6 – 100 pintu, Bab An-Nisa’ khusus untuk wanita (Pintu ke-39)

Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Baginda membangunkan masjid dengan tiga pintu.

Pertama – Pintu bahagian selatan ketika kiblat masih menghadap Baitul Maqdis di arah utara.

Kedua – Pintu di bahagian timur yang dinamakan dengan Pintu Nabi, juga disebut dengan Bab Uthman, yang kemudiannya dikenali dengan Bab Jibril.

KOTA MADINAH juga terkenal dengan ladang-ladang kurma dan ia dieksport ke luar negara. Foto Canva

KOTA MADINAH juga terkenal dengan ladang-ladang kurma dan ia dieksport ke luar negara. Foto Canva

Ketiga – Pintu di sebelah barat yang dinamakan dengan Pintu Atikah kerana berdekatan dengan rumah Atikah binti Abdullah bin Yazid bin Muawiyah.

Pintu ke-39 atau Bab An-Nisa’ adalah pintu yang di khaskan buat laluan para wanita. Kedudukan pintu ini adalah bertentangan dengan perkuburan Baqi’.

Pintu ini diberikan nama Bab An-Nisa’ kerana Khalifah Umar Al-Khattab telah membukanya bagi kegunaan kaum wanita memasuki Masjid Nabawi. Sebaik sahaja memasuki pintu ini, kita akan melihat di bahagian kiri pangkin yang dikenali sebagai pangkin Ahli Suffah.

7 – Pernah terbakar dua kali

Masjid Nabawi pernah terbakar sebanyak dua kali dalam sejarah.

Kali pertama berlaku pada bulan Jamadil Awal 654 Hijrah (1232 Masihi). Ia terjadi apabila seorang penjaga stor Masjid Nabawi masuk ke dalam stor untuk mengambil obor api.

Malangnya, selepas keluar, beliau tertinggal lilinnya di atas bekas yang tersimpan obor api tadi lalu menyebabkan kebakaran.

Api mula menyambar ke permaidani masjid, kemudian merebak ke bahagian lain di dalam sehingga memusnahkan mihrab, mimbar, kitab-kitab Al-Quran dan sebagainya.

Hanya kubah di bahagian tengah masjid sahaja yang terselamat. Hasil jasa dan sumbangan para pemerintah Islam ketika itu, Masjid Nabawi dipulihkan semula.

Kebakaran kedua berlaku pada bulan Ramadan tahun 886H (1464M).

Pada satu hari yang mendung, ketika muazin berada di puncak menara untuk melaungkan azan, tiba-tiba datang kilat menyambar menara tersebut. Dalam kejadian itu, muazin tersebut meninggal dunia dan api pun mula membakar atap masjid.

Api telah memusnahkan bahagian timur, utara dan barat masjid. Ada juga beberapa orang yang bergegas ke bahagian atap untuk memadamkan api, namun tergelincir dan jatuh daripada atap itu lalu meninggal dunia. Rumah-rumah berdekatan Masjid Nabawi juga turut terbakar.

Selepas dua tahun, Masjid Nabawi berjaya dibaiki sepenuhnya hasil usaha kerajaan Mesir iaitu Sultan Quaitbay.

8 – Teknologi penurun suhu

Pada tepi payung gergasi, terdapat pita biru yang mengelilinginya.

Pita itu diperbuat daripada material khusus sehingga membuatkan suhu di bawahnya turun 8 darjah celcius secara automatik.

Hal ini kerana suhu di Arab Saudi sangat panas sehingga boleh mencapai 45 darjah celcius.

9 – Wilayah Semenanjung Arab pertama ada bekalan elektrik

Ketika Kerajaan Uthmaniyyah memperkenalkan aliran elektrik di Semenanjung Arab, tempat pertama yang disalurkan aliran elektrik adalah Masjid Nabawi sekitar tahun 1909.

10 – Kubah Masjid Nabawi pernah berwarna ungu

Kubah hijau yang terkenal di Masjid Nabawi pernah dicat dengan warna ungu sekitar 150 tahun lalu kerana warga Arab ketika itu di wilayah Hijjaz menyukai warna tersebut.

Kini warna kubah Masjid Nabawi adalah warna hijau.

11 – Karpet Masjid Nabawi pernah berwarna merah

Karpet baru ini dijahit menggunakan teknologi terkini, mereka masih mengekalkan corak lama yang mempunyai logo Arab Saudi di atasnya.

Semua ini adalah bagi memberi keselesaan kepada para jemaah yang datang berkunjung untuk beribadah.

12 – Lima mihrab (tempat imam)

Mihrab adalah tempat imam memimpin solat. Kebiasaannya satu masjid hanya mempunyai satu mihrab sahaja, tetapi jika kita berkunjung ke Masjid Nabawi terdapat lima mihrab iaitu Mihrab Nabawi, Mihrab Tahajud, Mihrab Fatimah, Mihrab Uthmani dan Mihrab Sulaimani.

13 – Terkenal dengan pokok kurma

Di Arab Saudi terdapat banyak ladang kurma dan lebih 300 jenis kurma ditanam.

Madinah terkenal di dunia kerana pokok kurma dan kilang produksi kurma yang tersendiri. Buah ini diproses untuk dieksport.

14 – Thaqifah Bani Saidah

Di sini merupakan lokasi berkumpulnya para sahabat untuk memilih khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Ketika jenazah Baginda diuruskan oleh beberapa orang sahabat, terjadinya perbincangan hangat antara kaum Ansar dan Muhajirin tentang urusan perlantikan khalifah bagi umat Islam di tempat ini.

15 – Lokasi unta berhenti ketika ketibaan Rasulullah SAW di Madinah

Sebelum menjadi masjid yang besar, kawasan Masjid Nabawi merupakan tanah kosong dengan sejumlah pohon kurma yang tumbuh di atasnya.

DALAM kisah hijrah Nabi Muhammad SAW, unta Baginda berhenti di suatu kawasan setelah tiba di Madinah dan Baginda mendirikan masjid di kawasan tersebut.

DALAM kisah hijrah Nabi Muhammad SAW, unta Baginda berhenti di suatu kawasan setelah tiba di Madinah dan Baginda mendirikan masjid di kawasan tersebut.

Secara tepatnya, lokasi pembangunan masjid ini merupakan tempat berhentinya unta yang ditunggangi Baginda SAW ketika tiba di Madinah al-Munawwarah pada peristiwa hijrah.

16 – Masjid Nabawi dibina menggunakan batang dan pelepah pokok tamar

Tiang mihrab dan dinding Masjid Nabawi ketika itu dibina daripada susunan batu-bata serta tanah manakala bumbung masjid diperbuat daripada pelepah tamar.

Tiang masjid terdiri daripada batang tamar, lantainya diratakan dengan anak-anak batu dan pasir.

Keluasan Masjid Nabawi ketika itu hanyalah 100 hasta dengan lebar yang lebih kurang sama dengan panjangnya.

Rasulullah SAW juga membina ruang-ruang rumah untuk isteri-isteri baginda di sisi masjid.

Keadaannya amat sederhana iaitu dibina daripada batu-bata, atapnya daripada pelepah dan batang tamar. Setelah ruang tersebut selesai dibina, barulah Baginda berpindah dari rumah Abu Ayub al-Ansari.

Scroll to Top