Warga emas berputih mata, barang kemas bernilai RM300,000 'lesap'

Warga emas berputih mata, barang kemas bernilai RM300,000 'lesap'

am@hmetro.com.my

Bachok: Seorang warga emas kerugian lebih RM300,000 apabila barang kemas miliknya dicuri dalam kejadian di Kampung Pengkalan Kasim, Beris Kubor Besar, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Mek Som@Nisah Omar, 77 berkata, dia menyedari barang kemas miliknya hilang selepas pulang mengaji dari Masjid Pengkalan Chengal jam 12.30 tengah hari.

Katanya, dia terkejut mendapati bilik tidurnya berselerak dan mendapati beg yang mengandungi beberapa barang kemas miliknya hilang.

“Antaranya gelang, rantai dan cincin emas termasuk barang kemas anak,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Kasim, Beris Kubor Besar, di sini, hari ini.

“Apa yang menghairankan tiada kesan umpil pada kunci pagar dan pintu selain kesan pecah masuk ke dalam rumah.

“Sebaik lihat bilik tidur berselerak, saya terus ke balai untuk buat laporan polis, saya tahu nilaian barang kemas sebab baru buat nilaian dengan kedai emas kerana bercadang mahu membahagikan barangan kemas kepada anak pada Aidilfitri lalu, tetapi mereka suruh simpan dulu,” katanya.

Nisah berkata, terdapat beberapa kesan selongkar turut dikesan pada almari, beg, katil malah sampul raya dan kawasan sekitar bilik tidur.

“Pencuri ambil barang kemas tetapi bawa keluar dan tinggalkan surah Yasin yang turut saya letakkan dalam beg pinggang itu,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top