GENEVA: Pemimpin dunia bersatu untuk mengumpul dana AS$19 bilion (RM78 bilion) bagi melawan pandemik COVID-19 berikutan vaksin tidak memberi jaminan sepenuhnya.
Setahun selepas pelancaran Access to Covid Tools (ACT) Accelerator, usaha koordinasi antarabangsa bernilai berbilion dolar untuk mencari vaksin, ujian dan rawatan, sasaran memberikan satu bilion vaksin hampir dicapai.
Namun, pemimpin memberi amaran bahawa kemajuan sudah diperoleh dan dorongan lain diperlukan untuk menghilangkan pandemik itu kerana muncul varian baru yang semakin merebak di India.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata kemunculan varian virus baharu ia perlu dikawal segera daripada merebak.
“Kemunculan varian baru menunjukkan bahawa kesihatan kita juga bergantung pada negara termiskin kerana masih banyak yang harus dilakukan,” katanya.
ACT Accelerator mencari AS$22 bilion (RM90.4 bilion) tahun ini untuk melancarkan serangan terhadap wabak itu, tetapi masih kurangan AS$19 bilion (RM78 bilion).
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pemimpin dunia kini tidak banyak pilihan.
“Sama ada melabur untuk menyelamatkan nyawa dengan menangani penyebab wabak ini atau terus menghabiskan bertrilion dolar tanpa penghujungnya.
“Kami hanya dapat mengakhiri pandemik dengan pemberian dana, berkongsi dan meningkatkan akses kepada alat yang kami perlukan untuk melawan penyakit ini,” katanya.
Ketika pelancarannya setahun lalu, wabak itu masih pada peringkat awal dengan sekitar 2.7 juta jangkitan termasuk 190,000 kematian tetapi kini, angka kematian melebihi tiga juta manakala kes jangkitan melebihi 147 juta.
Pelancaran ACT memberi harapan kepada program COVAX untuk memastikan negara miskin dapat memiliki vaksin.
Hanya 0.2 peratus vaksin COVID-19 sudah diberikan kepada 29 negara miskin. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




