PETALING JAYA: Sabah berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM4.5 juta dalam Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair) Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffery Jimi berkata, jumlah tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 46 peratus berbanding tahun lalu.
Katanya, jumlah tersebut sekali gus mengukuhkan status Sabah sebagai pilihan destinasi pelancongan domestik melibatkan aktiviti pengembaraan, budaya dan alam semula jadi termasuk produk pelancongan berasaskan komuniti.
“Sebanyak 43 ejen pelancongan dari Sabah menyertai pameran itu yang diketuai oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sebagai peneraju utama mempromosikan destinasi itu di zon Sabah.
“Kejayaan ini adalah hasil dedikasi dan penyertaan aktif agensi-agensi pelancongan Sabah dan usaha ini juga membuktikan kerjasama erat pemain pelancongan dalam mempromosikan industri pelancongan negeri bersama-sama STB,” katanya dalam kenyataan semalam. – UTUSAN