Instinct 3 tampil dengan paparan AMOLED, solar

Instinct 3 tampil dengan paparan AMOLED, solar

saufi@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Garmin Malaysia hari ini memperkenalkan siri terbaru jam pintar taktikal, Instinct 3 Tactical Edition yang tampil dengan dua pilihan paparan iaitu AMOLED berdefinisi tinggi dan versi pengecasan solar untuk jangka hayat bateri tanpa had.

Reka bentuk ketenteraan yang tahan lasak serta ciri-ciri khas untuk aktiviti taktikal, Instinct 3 Tactical Edition direka untuk pengguna yang menjalani gaya hidup mencabar seperti tentera, pendaki, pelari hutan dan pengembara ekstrem.

Model AMOLED mampu bertahan sehingga 24 hari dalam mod jam pintar, manakala model pengecasan solar pula mampu mencapai jangka hayat bateri tanpa had bergantung kepada pendedahan kepada cahaya matahari.

Penolong Pengurus Besar Garmin Asia, Scoppen Lin berkata, siri Instinct terbukti sebagai pilihan terbaik untuk pengguna yang memerlukan jam pintar boleh diharap dalam sebarang situasi.

“Jam ini menampilkan bezel logam bertetulang, struktur gentian polimer yang diperkuat serta paparan tahan calar.

“Ia juga menepati piawaian MIL-STD 810 untuk rintangan haba dan kejutan serta kalis air hingga kedalaman 100 meter.

“Untuk aktiviti malam, jam ini hadir dengan lampu suluh LED terbina yang menawarkan cahaya berintensiti berubah-ubah termasuk mod lampu hijau untuk mengekalkan penglihatan malam semula jadi dan mod strob sebagai isyarat kecemasan,” katanya.

Jam ini juga menyokong mod penglihatan malam (NVG) yang mengecilkan tahap kecerahan skrin untuk digunakan bersama peranti optik malam, tanpa mengganggu penglihatan taktikal pengguna.

Antara fungsi khas taktikal lain ialah ‘Stealth Mode’, ‘Kill Switch’, ‘Jumpmaster’ dan format dua kedudukan koordinat serentak di skrin.

Mod Stealth membolehkan jam berfungsi tanpa menghantar lokasi, manakala Kill Switch memadam semua data pengguna jika keselamatan terancam.

Terdapat dalam saiz 45 millimeter (mm) dan 50mm untuk versi solar, serta 50mm untuk paparan AMOLED, jam ini juga dilengkapi teknologi SatIQ GPS berbilang jalur untuk ketepatan lokasi dan jimat tenaga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top