KLIA jadi 'port' seludup barang berbahaya: SPRM giat siasat

KLIA jadi 'port' seludup barang berbahaya: SPRM giat siasat

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan kegiatan penyeludupan barangan berbahaya di pintu masuk utama negara yang dipercayai mempunyai unsur rasuah.

Sumber berkata, ia dikesan melalui maklumat mengenai penyeludupan menerusi kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang diterima pihak SPRM.

“Maklumat membabitkan kegiatan penyeludupan itu diterima pada awal tahun ini dan susulan itu, SPRM membuka satu kertas siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, barangan berbahaya termasuk bahan kimia itu diseludup masuk dengan diikrarkan sebagai produk isi rumah,” katanya.

Menurut sumber, kegiatan yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) meletakkan kawasan KLIA terdedah kepada isu ancaman keselamatan terutama kejadian dua kebakaran yang berlaku pada tahun lalu.

Katanya, SPRM kini sedang menyiasat syarikat dan pihak terbabit termasuk akan mengenal pasti isu kelemahan tata kelola yang menyebabkan barangan berbahaya berkenaan mudah diseludup masuk.

Tambahnya, SPRM berkemungkinan akan memanggil pihak tertentu untuk tujuan siasatan.

Difahamkan, SPRM juga akan mengadakan kerjasama dengan pengurusan KLIA termasuk agensi penguat kuasa berkaitan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Idris Zaharudin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top