Jeddah: Penyerang Kawasaki Frontale, Tatsuya Ito merasakan pengalaman beraksi di sebelah Cristiano Ronaldo ketika separuh akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) ‘seolah-olah dalam permainan video’, selepas membantu kelab Jepun itu menundukkan Al Nassr 3-2 untuk mara ke final.
Aksi di Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah menyaksikan Ito membuka jaringan dengan gol menakjubkan seawal minit ke-10 sebelum Kawasaki memastikan tempat ke final menentang Al Ahli pada Ahad ini.
“Al Nassr ada Cristiano Ronaldo, Sadio Mane dan ramai bintang besar. Memang sukar nak hadapi mereka dalam beberapa situasi, tapi saya gembira dapat berada di padang bersama mereka malam ini,” kata bekas pemain Hamburg itu.
“Nama-nama besar berada betul-betul di sebelah saya sebelum masuk padang. Rasa macam dalam permainan video.”
Kawasaki pada awalnya dianggap bukan pasukan pilihan selepas hanya mara ke separuh akhir dengan mengatasi Al Sadd dari Qatar dalam masa tambahan pada aksi suku akhir, namun Ito pantas mengejutkan tuan rumah dengan voli cantik dari luar kotak penalti.
Mane menyamakan kedudukan buat Al Nassr pada minit ke-29 hasil rembatan yang terkena pemain lawan, tetapi Ito sekali lagi mencetus ancaman dengan kepantasannya menembusi pertahanan.
Meskipun rembatan awalnya diselamatkan penjaga gol Bento, Yuto Ozeki pantas menyambar bola muntah untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Masuk babak kedua, pemain gantian Akihiro Ienaga menambah gol ketiga Kawasaki pada minit ke-76, dan jaringan itu terbukti penting sebelum Aiman Yahya meledak gol cantik dari jarak jauh tiga minit sebelum tamat permainan.
“Kemenangan ini sangat penting, bukan saja untuk kelab, tapi untuk bola sepak Jepun dan saingan Liga J secara keseluruhan,” ujar Ito.
“Pengurus beritahu kami sebelum perlawanan bahawa kami datang ke sini untuk cipta sejarah. Kini kami sedang melakukannya. Harapnya kami boleh menang satu lagi perlawanan dan bawa pulang trofi ke Jepun.”
© New Straits Times Press (M) Bhd