Baitulmaqdis: Sekatan kemasukan bantuan kemanusiaan dikenakan Israel sejak lapan minggu lalu menyebabkan harga makanan di Semenanjung Gaza, Palestin, melambung tinggi.
Menurut ActionAid, sepanjang tempoh itu, pihak berkuasa Israel menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas lain ke wilayah berkenaan menyebabkan berlaku kekurangan bekalan yang serius dan mengancam ribuan penduduk dengan kelaparan.
Petugas ActionAid dan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan melaporkan, barangan keperluan asas seperti daging, telur, produk tenusu dan buah-buahan kini semakin kehabisan di pasaran.
Baki barangan yang masih ada pula dijual pada harga melampau contohnya, sebungkus tepung dilaporkan mencecah AS$300 (kira-kira RM1,294.80) di Deir Al-Balah.
Di sebelah utara pula, harganya boleh mencecah sehingga AS$500 (RM2,158).
“Majoriti penduduk kini hanya mampu makan sekali sehari, itupun sekadar mi, nasi atau makanan dalam tin saja,” kata kenyataan ActionAid.
Koordinator Advokasi dan Komunikasi ActionAid Palestin, Riham Jafari berkata, sekatan bantuan yang dikenakan pihak berkuasa Israel bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah membawa kesan yang amat mengerikan.
Katanya, mereka juga kehabisan cara untuk mendesak dunia bertindak secara tuntas.
“Rakyat Gaza kini hampir tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan. Kebuluran besar-besaran semakin menghampiri kami.
“Apa lagi yang dunia tunggu? Apabila kebuluran secara rasmi diisytiharkan, segala-galanya sudah terlambat.
“Pemimpin dunia mesti bertindak segera dan mendesak Israel membenarkan bantuan masuk serta menghentikan peperangan dengan serta-merta,” katanya.
Sementara itu, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNOCHA), lebih 3,700 kanak-kanak dimasukkan ke pusat rawatan akibat kekurangan zat yang serius pada Mac lalu, peningkatan 80 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Di Hospital Al-Awda yang menerima sokongan rakan ActionAid, kakitangan melaporkan semakin ramai ibu mengandung dan menyusu mengalami malnutrisi sederhana hingga teruk, malah kebanyakan bayi yang lahir dalam keadaan kurang berat badan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




