am@hmetro.com.my
Melaka: Pemandu lori kargo am dan kelindan lori muatan baju terpakai ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka kerana disyaki menggunakan dadah methamphetamine.
Lelaki berusia 40-an dan 20-an itu ditahan menerusi Operasi Khas Pengarah (Lebih Muatan) dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka bersama AADK selepas ujian saringan air kencing mereka didapati positif methamphetamine.
Timbalan Pengarah JPJ Melaka, Khairul Aswad Abdul Halim berkata, pemandu dan kelindan kenderaan perkhidmatan barangan terbabit ditahan berasingan di Jasin dan Jalan Tun Hamzah antara jam 11.15 hingga 11.30 malam kerana disyaki membawa muatan berlebihan.
Katanya, selepas ditimbang kedua-dua kenderaan didapati melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan dan dikompaun.
“Hasil ujian saringan air kencing dijalankan ke atas pemandu lori kargo am muatan jagung itu mendapati dia positif dadah methamphetamine.
“Lori kargo dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jasin itu tidak disita kerana pemandu keduanya negatif dadah.
“Sementara itu, kelindan lori muatan kain dan baju terpakai didapati positif methamphetamine manakala pemandunya bebas pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Aswad berkata, ujian saringan air kencing dilakukan di pejabat JPJ Melaka jam 1 pagi dan kedua-dua individu terbabit diserah kepada AADK untuk tindakan lanjut.
Sementara itu katanya, operasi khas dilaksanakan 25 anggota penguat kuasa JPJ Melaka serta lima anggota AADK memfokuskan kepada kesalahan lebih muatan dan penggunaan bahan terlarang bermula 10 malam hingga 9 pagi tadi.
“Sebanyak 89 kenderaan diperiksa dan 21 daripadanya diberikan notis arah timbang. Hasilnya 19 didapati melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan.
“Alasan diberikan mereka yang membawa lebih muatan adalah untuk mendapat komisyen lebih,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan dalam operasi itu sebanyak 43 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd