Sentiasa adaptasi teknologi terkini penghadang dan jalan raya

Sentiasa adaptasi teknologi terkini penghadang dan jalan raya

am@hmetro.com.my

Arau: Malaysia sentiasa mengadaptasi bahan atau teknologi terkini dari negara maju yang digunakan pada penghadang jalan raya dalam menjaga keselamatan pengguna jalan raya di negara ini.

Namun begitu, segala bahan serta teknologi yang digunakan akan dinilai mengikut kesesuaian serta justifikasi teknikal jalan raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya kagum dengan kepesatan teknologi jalan raya terutama di negara maju seperti Eropah dan sentiasa mencari keperluan untuk meningkatkan prestasi dan kegunaan bahan yang digunakan.

“Kita tidak ketinggalan mengadaptasi teknologi termasuk kemajuan digital atau bahan yang digunakan oleh negara maju untuk digunakan di negara ini.

“Sebenarnya di peringkat kementerian, saya sendiri kagum dengan apa yang dibuat di sana sebab kita sentiasa ingin membuat sesuatu atau pun meningkatkan dari segi prestasi dan kegunaan mutu material yang digunakan yang sama digunakan di negara maju.

“Malah, kita sentiasa ada program untuk melihat kepada perkembagan bahan atau ‘material’ terbaru atau teknologi baru untuk kita gunakan,” katanya ketika meninjau perkembangan pelaksanaan projek infrastruktur di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, di sini hari ini.

Katanya, dalam masa yang sama, teknologi atau bahan digunakan pada jalan raya atau penghadang jalan itu perlu disesuaikan dengan keadaan di negara ini.

“Apabila sesuatu bahan terbaharu diperkenalkan di pasaran, kita ambil sampelnya dan menilainya sama ada ia sesuai digunakan di negara kita kerana di negara kita terdapat elemen lain seperti cuaca di mana negara kita masanya cuaca hujan berlebihan, panas berpanjangan dan sebagainya.

“Selain itu, tidak semestinya ‘material’ yang bagus di negara lain akan baik juga di negara kita kerana di sana mereka menghadapi cuaca sejuk dan pelbagai lagi perubahan cuaca lain.

“Dalam konteks negara ini, terdapat kawasan bercerun di Lebuh Raya Karak dimana penghadang jalannya kita gunakan penghadang ‘roller’ atau ‘roller barrier’ dimana bahannya terdiri daripada komponen komposit dan bukannya penghadang keras atau ‘hard barrier’,” katanya.

Beliau berkata, dalam perkembangan itu teknologi ‘roller barrier’ hanya digunakan di beberapa bahagian pada lebuh raya itu yang dianggap sebagai kawasan berbahaya dan berisiko kemalangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top