Danish Iftikhar lakar kejutan di Stadium Merdeka

Danish Iftikhar lakar kejutan di Stadium Merdeka

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelari muda, Danish Iftikhar Muhammad Roslee mengejutkan bekas juara Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dalam acara 100 meter (m) untuk muncul selaku raja pecut pada Kejohanan Olahraga Siri Super Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Merdeka, hari ini.

Danish Iftikhar yang mewakili kontinjen Sukma Johor nyata sukar dicabar oleh pelari lain termasuk tiga atlet ternama kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, dan Muhammad Zulfiqar Ismail apabila dirinya muncul sebagai individu terpantas melepasi garisan penamat dengan catatan 10.57 saat (s).

Bagi atlet berusia 18 tahun itu, kejayaan itu disifatkan sebagai di luar jangkaan kerana dirinya hanya memberi fokus untuk menamatkan larian sebaik mungkin, meskipun diapit kiri dan kanan oleh pelari berpengalaman seperti Khairul dan Jonathan.

“Alhamdulillah. Memang saingan yang hebat daripada pelari lain. Niat kerana Allah. Saya cuma buat yang terbaik, selebihnya saya serahkan kepada Allah.

“Saya buat yang terbaik kerana ini adalah catatan terpantas (musim ini) dan saya sudah berikan sepenuh usaha. Ini adalah musim terbaik saya. Alhamdulillah, saya sangat puas hati. Tapi insya Allah, saya akan cuba buat lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Jonathan yang berlari di lorong tiga antara pelari pilihan, namun terpaksa akur dengan pingat perak selepas mencatat 10.66s, manakala wakil Pulau Pinang, Tan Zhi Hang, berpuas hati di tempat ketiga dengan catatan 10.70s.

Sementara itu, bagi kategori wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli menepati ramalan apabila muncul juara acara 100m dengan catatan masa 11.72s.

Tempat kedua disandang oleh Nur Aishah Rofina Aling dari Kesatuan Olahraga Sabah dengan catatan 11.80s, manakala tempat ketiga menjadi milik Azreen Nabila Alias dari pasukan kebangsaan dengan masa 11.83s.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top