Mabuk rupanya… polis tahan 2 lelaki 'buat kecoh' di laluan bas BSI

Mabuk rupanya… polis tahan 2 lelaki 'buat kecoh' di laluan bas BSI

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis menahan dua lelaki dalam satu insiden di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, awal pagi tadi, selepas mereka didapati menghalang tugas penjawat awam serta memandu dalam keadaan mabuk.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 pagi semasa anggota trafik yang bertugas di laluan keluar bas ke Singapura menahan sebuah kenderaan yang tersalah masuk ke laluan berkenaan.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, pemandu dan penumpang kereta terbabit enggan memberikan kerjasama dan membuat provokasi termasuk mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota yang bertugas.

“Pemandu terbabit adalah seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun, manakala penumpangnya adalah penduduk tetap warga Australia berusia 29 tahun.

“Pemandu tersebut telah dibawa ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan untuk ujian pernafasan dan keputusan mendapati kandungan alkohol dalam badan melebihi had yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azrul Hisham, semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

“Polis sedang memohon perintah reman terhadap kedua-dua suspek.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas; Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan dan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top