Tampung keperluan anak hidap barah, ibu jual sambal goreng

Tampung keperluan anak hidap barah, ibu jual sambal goreng

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Klang: “Saya bersyukur dengan ujian diberi kerana mungkin Allah SWT nak jentik hati saya untuk tengok orang lain yang lebih susah dan memerlukan,”.

Itu kata Norraiza Md Nasir, 39, iaitu ibu kepada Mu’izzuddin Shah Mohd Mutasya, 15, yang sebelum ini diuji dengan barah darah tahap satu.

Menurut Norraiza sebagai ibu, dia tentunya sedih selepas diberitahu doktor yang anaknya menghidap barah kerana ujian itu datang dengan tiba-tiba.

Bagaimanapun, sokongan suami, Mohd Mutasya Abd Muntalib, 39, membuatkannya kuat menempuh dugaan terutama sepanjang tujuh bulan menemani dan menjaga anaknya di hospital bagi menjalani kemoterapi, dua tahun lalu.

“Anak saya disahkan menghidap barah pada 1 Mac 2023 dan mulanya tak percaya kerana anak seorang yang aktif bersukan tapi dapat penyakit sampai saya murung tiga hari.

“Alhamdulillah, saya ada suami yang positif dan ingat lagi dia kata Allah SWT nak bagi rezeki buat kami. Waktu itu tertanya juga apa maksud di sebalik kata-katanya kerana bagi saya anak hidap barah jadi antara hidup atau mati saja.

“Tapi bila fikir semula, saya faham maksudnya dan selepas tiga hari, emosi bertambah baik malah boleh mula terima ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Taman Sri Andalas, di sini.

Demi melihat anaknya sembuh, Norraiza berkata, dia dan suami pernah berikhtiar dengan membawa Mu’izzuddin Shah berjumpa perawat tradisional di kampung.

Bagaimanapun, perawat itu tidak dapat mengesan penyakit anaknya dan akhirnya, Norraiza dengan suami akur dengan rawatan disyorkan doktor.

“Waktu mula dapat tahu anak sakit, saya tak tahu apa punca sebenar penyakit itu jadi banyak cari maklumat sendiri di Internet selain mendengar penjelasan doktor.

“Hasil maklumat diperoleh, saya cuba bantu anak dengan tukar cara pemakanannya dengan sediakannya makanan lebih berkhasiat seperti buah-buahan dan sayuran organik.

“Disebabkan anak sakit, kami sekeluarga belajar ubah cara pemakanan dengan ikut sama makan makanan organik dan saya akui ada salahkan diri kerana sebelum ini tak beri anak makanan yang berkhasiat,” katanya.

Demi menampung keperluan anaknya pula, Norraiza cuba mencari rezeki dengan menjual sambal goreng menerusi platform TikTok.

“Mulanya cuba-cuba saja dengan buat siaran langsung di TikTok pada 25 September 2023 dan niat waktu itu memang nak cari duit untuk anak.

“Tapi dalam satu jam, 100 botol sambal habis terjual dan sejak itu saya teruskan jual sampai sekarang yang mana bekalan (sambal) diperoleh daripada emak juga adik yang buat sendiri di kampung dekat Melaka.

“Jualan sambal itu banyak mengubah hidup kami sekeluarga dengan izin Allah SWT cuma ada segelintir netizen kata saya guna taktik kotor guna anak untuk cari simpati. Tapi itu ikhtiar saya dan demi Allah SWT, saya tak guna satu sen pun duit untuk beli emas atau yang bukan keperluan,” katanya.

Norraiza berkata, dia dan suami yang bekerja sebagai anggota polis juga tidak memohon bantuan dengan agensi kerajaan bukan kerana hidup senang namun berasa ada individu lebih memerlukan.

“Rasa tak layak kerana kami masih ada kudrat untuk bekerja dan Alhamdulillah, duit hasil jualan sambal pun dapat kami gunakan untuk bantu madrasah.

“Buat masa ini, anak saya hanya pernah menjalani kemoterapi selama tujuh bulan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur pada 2003 dan belum bebas barah sepenuhnya tapi keadaannya lebih baik macam dulu cuma belum kembali ke sekolah lagi.

“Saya sentiasa pesan kepadanya barah bukan tiket meninggal dunia tapi dia kena bersedia dan jaga diri kalau nak hidup lebih lama. Saya pun percaya ada hikmah di sebalik ujian itu kerana Allah SWT tak beri apa kita nak tapi apa yang perlu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top