Tangkis persepsi negatif!

Tangkis persepsi negatif!

Terdapat segelintir masyarakat luar negara terutamanya dari negara Barat masih mempunyai persepsi negatif terhadap industri minyak sawit.

razis@mediaprima.com.my

LEBIH membimbangkan, sebahagian rakyat Malaysia sendiri turut terpengaruh dengan propaganda itu tanpa memahami kebaikan dan sumbangan sebenar minyak sawit kepada ekonomi, kesihatan, kestabilan sosial dan alam sekitar.Namun, menjadi tanggungjawab bersama untuk mendidik dan menyebarkan maklumat tepat berkenaan kepentingan minyak sawit supaya persepsi negatif ini dapat diubah secara menyeluruh.Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Daljit Singh Karam Singh berkata, daripada segi kelestarian alam sekitar, kelapa sawit adalah tanaman yang paling efisien daripada segi hasil per hektar (ha).Katanya, kelapa sawit mampu menghasilkan kira-kira 3.8 tan minyak sehektar, jauh lebih tinggi berbanding soya (0.5 tan/ha), bunga matahari (0.7 tan/ha) dan kanola (0.6 tan/ha).”Tambahan pula, tanaman kelapa sawit hanya menggunakan kira-kira enam peratus kawasan tanah pertanian global, tetapi menyumbang sekitar 40 peratus daripada bekalan minyak sayuran dunia. Ini menjadikan kelapa sawit sebagai tanaman yang paling produktif dan mampan dalam kategori tanaman minyak sayuran.”Pokok kelapa sawit boleh dituai hasilnya sehingga 25 tahun dan setiap pokok mampu menghasilkan sekitar 40 kilogram minyak setahun, menjadikan ia sangat sesuai dengan iklim tropika Malaysia,” katanya.Menurutnya, minyak sawit adalah komoditi utama yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara.”Setakat 29 April 2025, harga pasaran bagi satu tan minyak sawit mentah (CPO) adalah RM4,018 menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).”Industri ini turut menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih sejuta rakyat Malaysia termasuk pekebun kecil, pekerja ladang dan profesional dalam sektor berkaitan. Ramai pekebun kecil bergantung kepada hasil kelapa sawit untuk menyara kehidupan mereka,” katanya.Beliau berkata, persepsi bahawa kelapa sawit menyebabkan kemusnahan alam dan hidupan liar adalah tidak tepat.”Malaysia melaksanakan pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) bagi memastikan semua aktiviti industri mematuhi prinsip kelestarian termasuk amalan ‘zero burning’ dan pengurusan sisa secara bertanggungjawab.”MSPO yang diselia Malaysian Palm Oil Certification Council (MPOCC) memastikan pematuhan kepada amalan mampan dari ladang sehingga ke pasaran global, termasuk kebajikan pekerja,” katanya.Daripada aspek kesihatan Dr Daljit berkata, minyak sawit mengandungi vitamin E (tokotrienol) dengan antioksidan kuat dan bebas lemak trans.Ia juga mempunyai karotenoid yang penting untuk kesihatan mata, otak dan sistem imun. Ini menjadikan minyak sawit sebagai alternatif minyak masakan yang lebih sihat berbanding banyak minyak lain di pasaran.Selain itu, kelapa sawit menjadi sektor yang membuka peluang luas dalam bidang pendidikan dan kerjaya dengan banyak syarikat perladangan utama seperti Sime Darby, IOI dan Genting Plantation menawarkan biasiswa kepada pelajar yang cemerlang serta berkeperluan, membuka peluang latihan industri serta pekerjaan dalam bidang agronomi, pengurusan ladang dan teknologi tanaman.Mengulas lanjut, minyak sawit adalah eksport utama negara dengan nilai eksport dijangka mencecah RM120 bilion pada tahun ini.”Negara pengimport utama termasuk India, China dan Kesatuan Eropah membuktikan permintaan global terhadap minyak sawit Malaysia kekal kukuh walaupun berdepan cabaran geopolitik dan kempen negatif,” katanya.Dalam pada itu, industri minyak sawit Malaysia secara langsung menyumbang kepada beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.Dr Daljit berkata, melalui peningkatan taraf hidup pekebun kecil dan peluang pekerjaan kepada komuniti luar bandar, industri ini menyokong SDG 1 (Pembasmian Kemiskinan) dan SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi). Pelaksanaan pensijilan seperti MSPO dan RSPO memastikan pengeluaran minyak sawit dilakukan secara mampan, sejajar dengan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab).”Amalan pengurusan ladang tanpa pembakaran terbuka dan penjagaan ekosistem pula menyumbang kepada SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim) serta SDG 15 (Kehidupan di Darat) melalui pemeliharaan biodiversiti dan habitat hidupan liar. Secara keseluruhannya, minyak sawit bukan sahaja menjadi pemacu ekonomi negara, malah memainkan peranan penting dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan global,” katanya.Beliau berpendapat, usaha memperkasa industri ini tidak perlu terbatas kepada sektor teknikal semata-mata.”Kementerian Perladangan dan Komoditi perlu bekerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk memperluaskan pameran dan kempen kesedaran di pusat beli-belah, lapangan terbang serta lokasi tumpuan pelancong.”Kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) juga penting dalam memperkukuh pendidikan, latihan dan penyelidikan dalam bidang perladangan sawit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top