najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Marissa Yasmin, 48, mendedahkan dia pernah berhadapan dengan lelaki yang mengalami gangguan personaliti narsisistik (NPD).
Marissa atau nama sebenarnya Marissa Yasmin Mariam Yaakob berkata, individu yang memiliki gangguan itu lazimnya enggan mengakui kesalahan sendiri.
“Watak narsisistik ini amat dekat dengan diri saya kerana pernah melalui pengalaman dengan seseorang yang bersifat sedemikian.
“Hidup bersama individu narsisistik memang mencabar dan saya mampu mengenal pasti sama ada seseorang itu mempunyai ciri-ciri tersebut atau tidak.
“Kebiasaannya, mangsa yang kelihatan jahat, manakala individu narsisistik pula tampil seolah-olah tidak bersalah,” katanya.
Marissa berkata, dia pernah memberi peluang kepada individu narsisistik itu untuk berubah sebelum akhirnya mengambil keputusan meninggalkan hubungan berkenaan.
“Saya dapat kekuatan untuk keluar selepas bertahan dengan sikap mereka dalam tempoh tertentu.
“Kira-kira tujuh hingga lapan bulan saya cuba bertahan, itu pun dah cukup lama dengan harapan dan doa agar hatinya terbuka untuk berubah.
“Tapi kalau terus beri peluang, mereka akan mempergunakan kita sampai ‘lunyai’. Golongan narsisistik memang tak akan berubah sebab tiada ubat,” katanya.
Dalam masa sama, Marissa turut menitipkan nasihat kepada mereka yang berhadapan dengan individu seumpama itu supaya memiliki kekuatan mental untuk membebaskan diri daripada terus menjadi mangsa penderaan emosi.
“Kita perlu ada kekuatan dalaman kerana bila hidup dengan individu narsisistik, kita akan kehilangan diri, kekuatan dan segala-galanya.
“Apabila berdepan mereka, kita perlu ada bukti yang jelas, walaupun akhirnya mereka tetap akan cari jalan untuk menyalahkan kita.
“Kekuatan mental juga amat penting sebab mereka akan dera kita sampai kita jadi lemah dan tak mampu bersuara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Marissa berkata, dia teruja membintangi drama Pabila Dia Tersenyum yang turut mengangkat kisah narsistik dalam naskhah itu.
Selain Marissa, Pabila Dia Tersenyum turut dibintangi Alya Iman, Amir Ahnaf, Iqram Dinzly dan Adam Lee.
Drama berdiri 15 episod itu disiarkan di platform penstriman Viu bermula 24 April lalu pada setiap Khamis hingga Sabtu.
© New Straits Times Press (M) Bhd