'Kematian sentiasa difikiran' – Kieran

'Kematian sentiasa difikiran' – Kieran

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pengacara dan penyampai radio, Kieran, 50, mengakui kematian adalah perkara yang sentiasa bermain di fikirannya sewaktu melalui rawatan kimoterapi yang penuh ”penyeksaan’ selepas disahkan menghidap kanser prostat tahun lalu.

Bagaimanapun Kieran atau nama sebenarnya Maskiran Jakiran berkata, sokongan keluarga dan rakan-rakan membuatkan dia perlu bangkit untuk melawan penyakit pembunuh senyap itu.

“Ya, selepas menjalani rawatan kimoterapi saya tidak boleh tidur nyenyak selain kerap rasa nak muntah membuatkan saya bertanya kepada diri berapa lama lagi boleh hidup.

“Mampu ke saya terus hidup atau tidak lagi? Cuma saya cakap pada diri kalau sudah tiba masanya (dijemput Ilahi) saya harap tidak menyusahkan sesiapa.

“Tapi selepas melihat wajah anak yang sedang tidur pada waktu malam, saya beritahu pada diri tak boleh fikir soal kematian lagi. Bagi saya, ajal dan maut ini sudah ditentukan Tuhan.

“Jadi, selagi belum saya perlu berjuang. Alhamdulillah kawan-kawan sekeliling pun selalu beri sokongan dan nasihat yang positif seperti ramai penyakit kanser ini berjaya pulih,” katanya.

Menurut Kieran, sehingga hari ini keadaan kesihatannya masih belum pulih akibat kesan kimoterapi, tetapi bersyukur masih mendapat kekuatan untuk meneruskan kehidupan dan beransur pulih.

Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik selepas menjalani pembedahan pada Februari lalu, diikuti rawatan kemoterapi. Sel kanser pun sudah banyak berkurangan, cuma dalam perut, saya masih belum pasti keadaannya, jadi hati ini tetap berdebar-debar.

“Keputusan penuh akan saya terima dalam masa dua minggu lagi. Saya dijadualkan bertemu doktor di Hospital Kuala Lumpur pada pertengahan Mei ini.

“Ramai yang kata saya nampak sihat, tetapi sebenarnya sakit masih ada. Waktu malam, ada saja rasa berdenyut di sana sini, tapi saya anggap itu perkara biasa. Bila nak bangun pun rasa berat, kaki dah tak sekuat dulu. Saya juga tak boleh bangun secara mengejut sebab mudah rasa pening.

“Tangan pula masih bengkak selepas kemoterapi, jadi tak boleh pegang barang lama-lama. Kalau memandu, saya tak boleh pergi jauh, tapi sekitar Kuala Lumpur masih mampu saya gagahkan diri,” katanya.

Dalam masa sama, Kieran meluahkan rasa syukur dengan sumbangan yang diterima melalui program mStar Baek musim ketiga kerana dapat meringankan beban selepas setahun tidak berkerja.

“Saya rasa ini inisiatif yang sangat baik, saya terima kad perubatan yang boleh digunakan sebanyak 12 kali rawatan.

“Apa yang mereka beri ini sangat membantu kepada orang macam kami yang tiba-tiba ditimpa musibah,” katanya.

Kieran antara enam penerima mStar Baek pada musim ketiga dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare).

Turut menerima sumbangan adalah Fendy Caliph Busker yang tabah membesarkan anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) penglihatan sepertinya dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan yang kini menderita akibat tulang kaki membengkok.

Selain itu, atlet para Nurul Shakina Abdullah Teh yang kini menjadi penyanyi jalanan untuk membesarkan dua anaknya serta Mohammad Saad Habizal yang menghidap palsi serebrum (cerebral palsy) dan masalah tulang belakang bengkok.

Turut menerima bantuan ialah pelakon, Ebby Yus yang diuji pelbagai penyakit kronik termasuk masalah jantung dan kegagalan buah pinggang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top