surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya menggunakan getah paip, bulan lalu.
Tertuduh, Danial Kenneth Abdullah, 35, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.
Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berusia 24 tahun dengan menendang kaki kiri dan memukul menggunakan getah paip pada bahagian badan di sebuah pangsapuri di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, 9 malam, 30 April lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 326A akta sama.
Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan manakala bagi 326A pula berdepan dengan hukuman penjara selama tempoh dua kali ganda tempoh maksimum atau dengan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak menawarkan jaminan berikutan pengadu adalah isteri tertuduh dan tinggal bersama, malah Seksyen 324 Kanun Keseksaan adalah tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak mempunyai peguam merayu supaya jaminan dibenarkan memandangkan dia mempunyai dua anak yang masih kecil masing-masing berusia empat bulan dan setahun.
“Saya minta jasa baik supaya jaminan diberikan kerana saya baru dapat tahu bahawa dua hari lalu isteri mengandung anak ketiga.
“Saya sedar kesilapan dan mohon diberikan jaminan seringannya untuk memperbaiki kesilapan ini, saya sayang anak-anak dan akan jaga keluarga dengan baik,” katanya.
Bagaimanapun, perkara itu tetap dibantah Mohamad Ikhwan berikutan kesalahan dilakukan adalah serius iaitu mencederakan isterinya dan mereka masih tinggal bersama, sekiranya jaminan diberikan mangsa akan mengalami ketakutan dan trauma.
“Saya dimaklumkan pergaduhan membabitkan masalah rumah tangga, pihak pendakwaan kekal tidak mempertimbangkan untuk diberikan jaminan,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Zulqarnain tidak membenarkan jaminan selepas mengambil kira kesalahan mencederakan isteri dan menetapkan 9 Jun sebutan kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd




