Kilang Tudung Dakwa Syarikat Tudung Fazura Berhutang RM4.65 Juta

Kilang Tudung Dakwa Syarikat Tudung Fazura Berhutang RM4.65 Juta

Tiada angin tiada ribut, syarikat pengilang tudung, Feline Malaysia mendakwa syarikat milik selebriti terkenal, Nur Fazura berhutang hampir RM4.65 juta.

Memetik Buzz Kini, dalam dokumen pernyataan tuntutan, Obor Holding Sdn Bhd selaku pemilik Feline Malaysia mendakwa syarikat Pink Fate Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan Fazura telah dibekalkan tudung dengan jumlah invois RM7.33 juta sejak Jun 2022.

BACA: Tegur Fatima Jangan Makan Berbunyi, Netizen Puji Cara Didikan Fazura

Bagaimanapun, Pink Fate telah membayar RM2,680,167.90 namun masih berhutang sebanyak RM4.65 juta dan Obor Holding mendakwa pihaknya berdepan kesukaran mengutip bayaran sejak Disember 2023.

Namakan abang & Fazura sebagai defendan ke-3 dan ke-4

Selain Pink Fate, tuntutan turut menamakan syarikat Fazfit Sdn Bhd sebagai defendan kedua; abang Fazura, Ahmad Faiz Sharifuddin (defendan ketiga); dan Nur Fazura sebagai defendan keempat.

Obor Holding turut mendakwa hutang sebanyak RM4.65 juta tersebut adalah termasuk lima pesanan tambahan yang dilakukan pada Jun dan September 2024 berjumlah RM3.6 juta.

Feline turut diberikan keyakinan bahawa pesanan tambahan ditempah oleh Kementerian Pendidikan untuk inisiatif Koleksi Merdeka.

Hasil semakan, program tersebut telah berlangsung pada Julai 2024 dan ianya adalah satu kolaborasi antara KPM dan Tudung Fazura sebagai salah satu program istimewa dalam memeriahkan sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-67.

Bukan itu saja, Feline mendakwa diberi keyakinan bahawa pembayaran akan diterima kerana projek tersebut membabitkan kerjasama dengan rakan kongsi yang bereputasi tinggi antaranya Boh Plantations Sdn Bhd (BOH), Hotel Movenpick dan Institut Kanser Negara (IKN).

Pengilang terima cek tendang RM1 juta

Pihak Feline menyatakan Faiz ada menyerahkan cek yang ditandatanganinya bersama Fazura berjumlah RM1 juta pada 3 September 2024, namun gagal “mencairkannya” di bank (cek tendang).

Difahamkan semua transaksi dilakukan ketika Fazura masih lagi bergelar pengarah sebelum pelakon itu melepaskan jawatan sebagai pengarah Pink Fate  pada Januari 2025. 

Obor Holding berkata, pihaknya sedang dalam proses memfailkan Penghakiman Ingkar terhadap Pink Fate memandangkan tempoh memberikan maklum balas yang diberikan sudah tamat.

SUMBER: BuzzKini


Scroll to Top