mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Saya dipaksa tandakan complete job (selesai hantar penumpang) sebelum MyKad dan lesen memandu diambil mereka yang mendakwa anggota polis (penculik) sebelum wanita itu dipaksa turun dan dibawa masuk ke dalam salah kereta terbabit,” kata pemandu e-hailing yang ingin dikenali Kok, 55, tahun.
Dalam kejadian 2 petang 9 April lalu, Datin Seri Pamela Ling Yueh, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, selepas diculik individu menaiki tiga kereta.
Kok berkata, pada hari kejadian, dia mengambil wanita itu dari Velocity Tower, Cheras ke SPRM Putrajaya di mana ketika dalam perjalanan mereka tidak berbual, namun wanita itu ada menghubungi seseorang namun dia tidak mendengar perbualan itu secara jelas.
Menurutnya, ketika hampir tiba ke bangunan SPRM, tiba-tiba tiga kereta muncul dari depan, di belakang dan di sisi kenderaanya terus menghalang laluan.
“Kemudian, keluar dua lelaki dan seorang wanita dari dua kereta, manakala tiada orang keluar dari satu lagi kereta.
“Saya lihat dua lelaki itu pakai vest polis manakala seorang lagi wanita memakai pakaian seragam polis menghampiri kereta saya serta memaklumkan ingin menahannya (Pamela) bagi membantu siasatan selepas menerima laporan polis,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Katanya, pada mulanya, wanita terbabit enggan keluar dari kereta sebelum wanita berpakaian polis itu cuba hendak tariknya keluar.
“Dua lelaki lain kemudian menerangkan ini adalah tangkapan dan mendakwa hanya akan menghantar pelanggan saya itu (Pamela) ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
“Barulah ketika itu wanita terbabit turut dan dia membayar RM100 kepada saya untuk kos penghantaran sebelum penculik itu memaksa saya menekan butang complete job,” katanya.
Menurut Kok, mereka juga mengambil Mykad, lesen dan nombor telefonnya sebelum beredar.
“Saya kemudian tampil membuat laporan polis malah akibat kejadian itu saya tidak dapat bekerja selama dua minggu kerana menunggu lesen baru siap,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan polis turut menyiasat dakwaan kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh, sama ada dia dilarikan oleh pihak polis atau individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Fakta ini diperoleh daripada saksi iaitu pemandu e-hailing yang membawa Pamela ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, pada tengah hari 9 April lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan yang menyatakan bahawa Pamela dilarikan oleh individu yang memakai vest bertulis polis namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
Menurutnya, siasatan semasa kejadian juga turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
Sehingga kini polis masih mengesan keberadaan wanita itu yang hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM di Putrajaya malah polis mengesahkan tidak menerima sebarang permintaan wang tebusan berhubung kehilangannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




