
Pelancong Rusia yang dimasukkan ke hospital di Hospital Daerah Phanom dipercayai akibat memakan buah hutan semasa melawat Taman Negara Khao Na Nai Luang, di wilayah selatan Surat Thani. – Foto Agensi
SURAT THANI β Tujuh pelancong warga Rusia dikejarkan ke hospital selepas mengalami simptom muntah dan pening, dipercayai akibat memakan buah hutan semasa melawat Taman Negara Khao Na Nai Luang, di wilayah selatan Surat Thani pada Isnin.
Menurut laporan media tempatan, pasukan penyelamat dari Yayasan Ta Khun Prom dipanggil ke lokasi sekitar jam 1.33 tengah hari (waktu tempatan) di kawasan Daerah Phanom bagi memberikan bantuan kecemasan kepada kumpulan tersebut yang terdiri daripada lima wanita dan dua lelaki.
Kesemua mangsa dilaporkan masih sedar namun mengalami gejala seperti sesak dada, pening dan muntah berterusan.
Dua daripada mereka, iaitu wanita berusia 45 dan 50 tahun, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal apabila turut mengalami simptom buih di mulut dan dehidrasi teruk.
Empat mangsa telah dibenarkan keluar hospital, manakala tiga lagi masih di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).
Mereka dikenali sebagai Spirina Olena (45), Sierova Olqa (50) dan Nartalia Sytnikova (42). Olena dan Olqa ditempatkan di Hospital Daerah Phanom, manakala Sytnikova dirawat di Hospital Ban Ta Khun.
Difahamkan, kumpulan pelancong itu tiba di Surat Thani dengan menaiki kenderaan sewa dari Phuket dan memasuki taman negara secara sendiri.
Mereka kemudian menemui sejenis buah hutan, disyaki spesies Diospyros, dan memakannya sebelum menunjukkan simptom tersebut.
Pihak penyelamat percaya reaksi alahan mungkin berpunca daripada getah pada kulit buah tersebut.
Gambar yang dikongsikan oleh akhbar Matichon menunjukkan buah berbentuk bulat, berwarna kuning dengan tompok hitam pada kulit dan berisi lembut kekuningan bersama satu biji benih besar di dalamnya.
Spesies sebenar buah berkenaan masih belum disahkan, namun media tempatan mengesyaki ia adalah Diospyros, dikenali di Thailand sebagai βMa Plub Sam Klerβ.
Insiden ini turut menarik perhatian netizen Thailand yang tertanya-tanya tentang keselamatan buah tersebut, memandangkan haiwan seperti monyet dilihat memakannya tanpa sebarang kesan sampingan. β Agensi