Beijing: Seorang pemuda China yang buta sebelah mata kini menjadi tular selepas hantaran di media sosial mengenai kisahnya menanam pokok di padang pasir demi menyelamatkan alam sekitar mendapat jutaan tontonan.
Lebih menarik, Wang Jin, 23, digelar sebagai ‘Putera Gurun’ itu sanggup berpanas dan ‘bermandi pasir’ setiap hari untuk menghijaukan tanah gersang yang dulunya tandus.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Wang yang memiliki mata berbeza warna, berjaya meraih setengah juta pengikut di media sosial dalam masa sebulan, selain mengumpul 1.1 juta pengikut di platform video pendek.
Menariknya, Wang hanya memuat naik 17 video – kebanyakannya hanya memaparkan dia minum air botol dan makan roti kukus di tengah padang pasir.
Dalam video itu, kelihatan dia makan dengan lahap, kulitnya kasar, rambut pula penuh dengan pasir yang seperti tidak pernah dibasuh.
Namun, komuniti dalam talian jatuh hati dengan gaya ‘keras’ Wang, lebih-lebih lagi selepas mengetahui pekerjaannya sebagai petugas kawalan penggurunan dengan gigih menanam pokok.
Wang, yang berasal dari Liangshan di wilayah Sichuan – antara kawasan termiskin di China – kini bersama ibu bapanya bekerja di wilayah gersang Inner Mongolia.
Katanya, dia hanya menerima upah 200 yuan (kira-kira RM118) sehari untuk kerja menanam pokok di padang pasir.
Dalam video dikongsikan, Wang menunjukkan betapa sukarnya kerja itu yang memerlukan upaya mengangkat alat penggali berat dan anak pokok sambil berjalan jauh dalam ribut pasir setiap hari.
Ramai turut perasan matanya yang berbeza warna – sebelah gelap, sebelah lagi kelabu kabur.
Wang mendedahkan, dia buta mata kiri selepas terkena dahan pokok semasa kecil.
Disebabkan kemiskinan, keluarganya tidak mampu merawat matanya dan dia akhirnya kehilangan penglihatan sebelah mata.
Namun katanya, dia masih boleh melihat dengan mata kanan dan kecacatan itu langsung tidak menjejaskan hidupnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




