Kuala Lumpur: Batik Air mengumumkan pembatalan penerbangannya ke dan dari Lahore, Pakistan dan Amritsar, India untuk hari ini dan esok, berikutan situasi berterusan antara kedua-dua negara.
Penerbangan yang terjejas adalah KUL-LHE (OD 131), 7 dan 8 Mei, berlepas 5.35 petang; LHE-KUL (OD 132), 7 dan 8 Mei, berlepas 9.35 malam
Selain itu, penerbangan bagi laluan Amritsar turut terjejas yang membabitkan jadual KUL-ATQ (OD 271), pada 7 Mei, berlepas 6.40 petang dan ATQ-KUL (OD 272), 7 Mei, berlepas 11.05 malam.
Dalam satu kenyataan hari ini, Batik Air berkata keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta anak kapalnya tetap menjadi keutamaan tertinggi.
“Batik Air sedang memantau dengan teliti keadaan dalam penyelarasan dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan akan menyediakan kemas kini tepat pada masanya apabila maklumat baharu tersedia. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan menghargai pemahaman anda,” tambahnya.
Ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-dua jiran itu sejak bulan lalu memuncak awal Rabu dengan kedua-dua pihak dilaporkan melancarkan serangan udara rentas sempadan.
Pertukaran tembakan artileri antara tentera India dan Pakistan juga dilaporkan di sepanjang Garis Kawalan, yang membahagikan wilayah Kashmir antara kedua-dua negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd



