Penceramah bebas, PU Syed tampil menegur secara terbuka pasangan yang kini menjadi bualan hangat netizen, pempengaruh terkenal, Ameera Khan dan aktor tampan dari Indonesia, Jefri Nichol.
Teguran itu dikongsi menerusi satu video di Instagram miliknya selepas pelakon filem Ali Topan itu memuat naik klip mesra bersama Ameera, termasuk aksi mendukung dan mencium pipinya yang telah mengundang pelbagai reaksi netizen.
PU Syed, atau nama penuhnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak, 43, tidak berselindung dalam memberi peringatan mengenai batas pergaulan dalam Islam, lebih-lebih lagi antara lelaki dan perempuan yang belum mempunyai ikatan sah.
“Kalian berdua beragama Islam, bukan? Tidak adakah rasa takut kepada Allah? Di mana letaknya didikan agama yang pernah diterima hingga tergamak berkelakuan begitu tanpa rasa segan silu?
“Maruah ibu bapa, keluarga dan lebih penting, maruah agama… ke mana kalian campakkan semua itu? Islam sangat menitikberatkan soal pergaulan antara bukan mahram,” luahnya tegas.
Lebih lanjut, PU Syed turut menyuarakan kebimbangannya terhadap fenomena pasangan yang ‘bercinta bebas’ tanpa menghiraukan pandangan agama, malah melakukannya secara terang-terangan.
“Adakah kerana cinta? Atau kerana kalian ini ‘public figure’, maka semuanya boleh dilakukan sesuka hati tanpa peduli hukum hakam?
“Inilah golongan yang merisaukan kita. Kalau dalam filem ada watak walid gila perempuan, pasangan ini pula bagaimana? Perbuatan sebegini boleh jadi halal… kalau kalian bernikah. Selagi belum, berhentilah tabur dosa di sana sini,” katanya lagi.




