norhayati_nordin@hmetro.com.my
Bandar Baru Bangi: Suami kepada penyanyi, Zehra Zamri, 38, iaitu Nur Muhd Iqwan Samsudin atau Iqwan, 42, memaklumkan kemelut dalam rumah tangga mereka sudah tercetus sejak tahun pertama mereka berkahwin.
Iqwan berkata, konflik perhubungan mereka menjadi semakin buruk apabila dia sendiri berhadapan masalah membabitkan kewangan pada 2023.
“Permasalahan dalam rumah tangga kami sebenarnya sudah berlaku sejak tahun pertama kami menjadi suami isteri iaitu pada 2023, apabila pada masa itu saya diuji dengan masalah membabitkan kewangan.
“Pelbagai masalah mula timbul dan kami berhadapan pergolakan dalaman yang berpanjangan walaupun saya akhirnya berjaya keluar daripada masalah membabitkan kewangan itu,” katanya.
Menurut bapa tiga anak ini, pelbagai usaha juga sudah dilakukannya untuk memperbaiki hubungan rumah tangga bersama Zehra, namun masih tiada perubahan dan berakhir dengan sia-sia.
“Hubungan kami malah menjadi lebih keruh pada tahun lalu ketika dia (Zehra) menyertai program realiti TV. Banyak teguran dan nasihat saya kepadanya seperti cara pemakaian serta hal membabitkan individu lain, tidak dipedulikannya.
“Situasi dalam hubungan kami juga menjadi makin keruh apabila ada campur tangan orang lain. Walaupun kami cuba perbaiki dengan hadir ke sesi kaunseling, tapi kesan positifnya tidak berkekalan,” katanya.
Iqwan berkata, dia juga tidak pernah mengungkit bentuk kekerasan pernah dialaminya sepanjang perkahwinan bersama isterinya itu dan kesal dengan empat tuduhan yang difailkan Zehra terhadapnya dalam permohonan cerai dibuat.
“Sepanjang perkahwinan, saya tak pernah ungkit mengenai kekerasan fizikal yang dilakukannya kepada saya. Namun, apabila dia kemukakan empat tuduhan antaranya, mendakwa alami penderaan mental dan fizikal, saya tak boleh berdiam diri.
“Itu adalah dakwaan yang tidak berasas dan ia tidak adil untuk saya. Jadi, sebab itu saya dedahkan keganasan yang saya pernah alami itu di media sosial,” katanya.
Sebelum ini, pada 7 Mac lalu Zehra memfailkan cerai terhadap Iqwan dengan mengemukakan lima sebab tuntutan, antaranya tiada persefahaman suami isteri, culas menjalankan tanggungjawab, sikap suami, pengabaian serta perkahwinan yang sudah tidak dapat diselamatkan.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan kedua-dua mereka melantik wakil masing-masing sesi untuk JKP, namun rakan lelaki Iqwan yang mewakilinya tidak dapat hadir kerana ada urusan kecemasan.
Pihak Zehra diwakili oleh bapanya, Zambri Ahmad dan Iqwan pula diperintahkan datang semula ke mahkamah bersama wakilnya itu pada 14 Mei ini.
Keputusan laporan JKP pasangan ini akan dibentangkan mahkamah pada tarikh baru iaitu 14 Julai depan untuk Iqwan melafazkan cerai terhadap Zehra.
Iqwan dan Zehra mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021 dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia tiga tahun.
Sebelum itu, Zehra juga pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017, namun bercerai pada April 2018 selepas enam bulan hidup bersama.
Iqwan juga pernah mendirikan rumah tangga sebelum berkahwin kali kedua dengan Zehra dan mempunyai dua anak hasil daripada perkahwinan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




