Los Angeles: Syarikat Walt Disney pada Rabu lalu mengumumkan rancangannya membuka taman tema baharu di Emiriah Arab Bersatu (UAE), menandakan kedudukan negara teluk itu yang semakin kukuh sebagai hab kewangan dan hiburan global.
Resort tepi laut itu akan dibangunkan di Pulau Yas, Abu Dhabi, menerusi kerjasama dengan firma tempatan, Miral dengan Disney.
Pengumuman itu dibuat menjelang lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Arab Saudi, Qatar dan UAE, pada minggu depan.
“Disneyland Abu Dhabi akan menampilkan keaslian Disney dan keunikan Emiriah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Disney, Robert Iger dalam kenyataan, sambil menjanjikan “satu oasis hiburan Disney yang luar biasa di persimpangan dunia ini.”
Menurut Disney, resort baharu itu bakal menggabungkan “kisah, watak dan tarikan ikonik Disney dengan budaya meriah Abu Dhabi, garis pantai yang memukau serta seni bina yang menakjubkan.”
Disneyland Abu Dhabi bakal menjadi resort ketujuh Disney selepas taman tema pertama dibuka di Anaheim, California pada 1955. Taman tema Disney lain terletak di Florida, Tokyo, Paris, Hong Kong dan Shanghai.
Iger memberitahu, lokasi itu dipilih bagi membawa pengalaman Disney lebih dekat kepada ratusan juta pelanggan yang sebelum ini perlu menempuh perjalanan jauh dan mahal untuk ke enam lokasi sedia ada.
Beliau turut memetik kejayaan tarikan sedia ada di Abu Dhabi, termasuk muzium Louvre, dan projek Guggenheim yang dalam pembinaan.
Kumpulan Miral pula mengendalikan pelbagai hotel, resort dan taman tema di Abu Dhabi, antaranya Warner Brothers World, Ferrari World dan Sea World.
© New Straits Times Press (M) Bhd