Pintu rundingan dengan parti tempatan Sabah belum ditutup rapat

Pintu rundingan dengan parti tempatan Sabah belum ditutup rapat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pintu rundingan dengan parti tempatan di Sabah selain Pakatan Harapan (PH) untuk mengadakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) belum ditutup rapat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ini kerana pihaknya masih lagi terbuka untuk ‘duduk semeja’ berunding dengan parti tempatan lain termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui tampuk kerajaan negeri itu.

Mengenai cakap-cakap bahawa agihan kerusi sudah disepakati iaitu BN diperuntukkan 40 kerusi dan PH pula 33 kerusi, Presiden Umno itu menegaskan bahawa keputusan itu adalah pramatang kerana rundingan masih lagi berlangsung.

“Kami sudah membuat keputusan bahawa pertamanya kerjasama antara BN dan PH mesti diperkuatkan di Sabah. Kedua, keputusannya ialah BN, PH +++.

“Jadi kita serahkan kebijaksanaan kepada kepimpinan BN di Sabah dengan panduan daripada pusat untuk mencari jalan paling bijak bagi menentukan dominasi kesepakatan ini untuk PRN-17 di Sabah.

“Kita tidak tutup pintu. Prinsip kita, kita tidak buka pintu seluas-luasnya dan tidak tutup serapat-rapatnya. Jadi ertinya masih ada ruang yang luas bagi jalinan kerjasama politik di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Deklarasi Konvensyen Francais Asean dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Menjawab keterbukaan Bersatu untuk bekerjasama dengan Umno, Ahmad Zahid berkata ‘hasrat’ itu sudah banyak kali beliau dengar.

Beliau juga menyifatkan apa yang diperkatakan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti tercari-cari satu realiti baharu untuk pastikan parti berkenaan terus relevan dalam landskap politik negara.

“Banyak kali sudah saya dengar. Saya kira beliau mahu mencari satu realiti yang baharu dengan keadaan di mana rakan kongsi politiknya bermain kayu tiga.

“Dan saya pula fikir apa yang berlaku pada Umno sedang berlaku pada parti ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top