Sultan Nazrin perkenan 81 belia baca khutbah Jumaat esok

Sultan Nazrin perkenan 81 belia baca khutbah Jumaat esok

am@hmetro.com.my

Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan 81 belia membaca khutbah Jumaat di 81 masjid membabitkan semua daerah di negeri ini pada esok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, perkenan untuk membacakan khutbah bertajuk, Belia Berkeyakinan: Memenuhi Wawasan Dunia Akhirat itu diberikan bersempena Hari Belia Negara yang akan disambut 15 Mei ini.

Katanya, senarai 81 pemimpin belia itu dikemukakan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Perak kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mendapat sembah perkenan Sultan Nazrin.

Beliau turut berharap semua pentadbir masjid terlibat memberi keizinan kepada khatib jemputan itu bagi mengelak sebarang tindakan.

“Khatib-khatib ini diizinkan membaca khutbah dengan perkenan Sultan Nazrin. Jadi tiada sebab untuk mana-mana pengerusi (masjid) tidak mahu menerima atau mengizinkan, yang mana ia akan dianggap sebagai ingkar titah Sultan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, khatib jemputan yang dipilih mempunyai latar belakang baik antaranya, hafiz al-Quran, lepasan Universiti Al-Azhar dan keluaran universiti pengajian Islam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top