sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh mara ke suku akhir Terbuka Taiwan selepas mengejutkan juara bertahan, Lin Chun Yi dalam aksi pusingan kedua di Taipei, hari ini.
Pemain ranking ke-45 dunia itu mempamerkan aksi cemerlang untuk menundukkan wakil tuan rumah yang menduduki ranking ke-17 dunia, Lin Chun Yi dengan kemenangan straight set 21-17, 21-18 dalam tempoh 46 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Justin bakal berdepan seorang lagi pemain Taiwan, Wang Tze Wei di peringkat suku akhir esok.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa turut mencipta kejutan apabila mara ke suku akhir kejohanan Super 300 pertamanya selepas menewaskan wakil tuan rumah, Chiu Pin Chian dalam pertarungan sengit.
Letshanaa yang menghuni ranking ke-50 dunia dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 21-19, 17-21, 26-24 dalam perlawanan yang berlangsung selama 71 minit.
Pemain berusia 21 tahun itu berdepan cabaran getir apabila akan menentang pemain ranking ke-15 dunia dari Korea Selatan, Sim Yu Jin bagi perebutan tiket ke separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd