Terima kasih rakyat Malaysia bantu 'tebus' masjid kami

Terima kasih rakyat Malaysia bantu 'tebus' masjid kami

am@hmetro.com.my

Bagan Serai: “Terima kasih umat Islam dan rakyat Malaysia kerana bantu tebus masjid kami”.

Demikian ungkapan Pengerusi Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu Yusuf Majid, yang tidak menyangka dapat mengutip dana lebih RM2.3 juta bagi membeli atau menebus semula tanah wakaf yang bernilai RM 1.8 juta yang dijual kepada seorang individu bukan beragama Islam.

“Alhamdulillah hasrat kita tercapai dan bermula jam 12 tengah malam ini kita menutup sumbangan untuk masjid ini secara rasmi.

“Jika ada lagi jumlah duit dimasukkan, kita akan masukkan ke dalam wakaf am tabung bagi pengurusan masjid ini,” katanya ditemui media di sini malam ini.

Menurutnya, pihaknya akan menghantar wakil ke Ipoh bagi sesi penerangan dan perbincangan dengan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk), esok.

“Selepas itu kita akan berunding sesama ahli jawatankuasa untuk proses seterusnya dan kemungkinan akan melantik peguam untuk sesi pembelian tanah nanti.

“Mengenai wang lebihan lebih RM 500,000 itu kita berharap ia dapat digunakan untuk proses atau pengurusan jual beli tanah.

“Selebihnya kita akan gunakan untuk aktiviti pertanian dan hasilnya nanti kita masukkan dalam tabung untuk perjalanan masjid ini namun kita akan merujuk perkara itu dengan MAIPk terlebih dahulu sama ada boleh digunakan atau tidak,” katanya.

Muka depan Harian Metro sebelum ini melaporkan sebanyak RM 1.8 juta diperlukan bagi menyelamatkan tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu di sini.

Yusuf dilapor berkata, pihaknya memohon bantuan umat Islam khususnya di negeri ini untuk bersama-sama menyelamatkan sebahagian tanah masjid berkenaan yang kini dimiliki oleh individu bukan Islam.

Kemelut berpunca apabila tanah berkeluasan 0.61 hektar itu dijual oleh waris pewakaf tanpa pengetahuan pihak masjid.

Menariknya, hanya dalam tempoh kurang 36 jam selepas kisah Masjid Jamek Ar-Ridzuan disiarkan, pengurusan masjid berjaya mengumpulkan dana hampir RM2 juta.

Isu tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan: MAIPk arah semua masjid di Perak kenal pasti status tanah

Kurang 36 jam, Masjid Jamek Ar-Ridzuan terima sumbangan hampir RM2 juta

Perlukan RM1.8 juta untuk selamatkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top