Harian Metro terima anugerah Liputan Penyelidikan Tertinggi UPM

Harian Metro terima anugerah Liputan Penyelidikan Tertinggi UPM

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Serdang: Harian Metro (HM) menerima anugerah Liputan Penyelidikan Tertinggi pada Majlis Promosi UPM Bersama Media 2025 di sini, hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah kepada Pengarang Berita Kanan HM, Sufian Thauri Muhammed yang mewakili akhbar ini.

Sementara itu, Ahmad Farhan berkata, majlis berkenaan untuk memperkukuhkan hubungan strategik antara UPM dan pihak media sekali gus sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan dalam mengetengahkan pencapaian dan inisiatif universiti.

“Pentingnya peranan media dalam membantu UPM menyampaikan agenda ilmu, pertanian dan kelestarian kepada masyarakat.

“Media bukan sekadar saluran maklumat tetapi rakan strategik dalam memperluaskan capaian dan impak universiti kepada negara dan dunia,” katanya pada majlis berkenaan.

Penghargaan diberikan pihak media yang menyumbang secara signifikan dalam liputan berita berkaitan UPM sepanjang tahun lalu melalui 11 kategori anugerah.

Pada majlis itu juga, Berita Harian menerima anugerah kategori Liputan Media Tertinggi dan TV3 turut mendapat sijil penghargaan pada majlis berkenaan.

Selain itu, seramai 19 ahli akademik dan seorang pegawai bukan akademik UPM menerima Anugerah Visibiliti Media UPM 2024.

UPM turut menghargai dua kakitangan bukan akademik iaitu Chai Sen Tyng dan Siti Fatimah Abdul Ghani yang banyak menyumbang dalam kepakaran kepada masyarakat melalui media.

Majlis anjuran Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM itu sebagai sebahagian daripada usaha membina naratif yang positif dan konsisten tentang peranan UPM dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan pemindahan ilmu kepada komuniti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top