Kerjasama IIM, SPRM perkukuh strategi pencegahan rasuah

Kerjasama IIM, SPRM perkukuh strategi pencegahan rasuah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat mengukuhkan strategi bersama dua entiti berkenaan termasuk merangka pelbagai agenda pencegahan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, hasrat itu dimaklumkan ketika menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Rahman Mohd Din di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Katanya, pihaknya menyambut baik hasrat IIM untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam menyelaraskan aktiviti pencegahan rasuah antara SPRM dan IIM yang berperanan utama dalam memperkukuh budaya integriti dan tatakelola baik di sektor awam serta swasta.

“Ia supaya tidak berlaku pertindihan selain memantapkan pengukuhan strategi secara bersama serta berkongsi maklumat bagi merangka pelbagai strategi agenda pencegahan rasuah,” katanya.

Katanya, kunjungan hormat itu turut membuktikan komitmen SPRM dan IIM dalam membangunkan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) bagi mengantikan Pelan Integriti Nasional (PIN).

Sementara itu, Rahman berkata, pihaknya menghargai komitmen diberikan SPRM dan sentiasa mengalu-alukan kerjasama serta terbuka untuk berkongsi maklumat atau pandangan bersama SPRM.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Lim Bee Kean; Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam SPRM, Sudirman Aban serta Ketua Pegawai Operasi IIM, Izal Arif Zahrudin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top