am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon watak aksi, Pablo Amirul, 40, menyerahkan soal jodoh dengan kekasihnya iaitu pakar estetik, Dr Hana Rose kepada Allah SWT.
Pablo atau nama sebenarnya, Amirul Hisyam Mohd Sakri ketika ditemui berkata, dia tidak akan berahsia sekiranya mahu menamatkan zaman bujang dengan kekasihnya itu.
“Benda baik kita akan kongsikan. Sama seperti pasangan lain, kami juga mengharapkan satu destinasi yang halal (perkahwinan), begitu juga saya.
“Insya-Allah, kalau tahun ini ada rezeki, saya akan tamatkan zaman bujang, saya akan ‘settle down’ (berkahwin). Malas nak buang masa. cuma saya tunggu masa sesuai untuk umumkan kepada peminat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi drama pendek pertama di Malaysia ‘Do Drama’ yang berlangsung di Aurum Theatre, di sini, hari ini.
Mengenai perkahwinan lagi, kata Pablo, dia juga mempunyai keinginan untuk berkeluarga pada usia sekarang.
Pablo berkata, dia juga jarang berkongsi secara terbuka mengenai hubungan cinta tapi memahami ramai peminat yang mahu mengetahui sisi peribadinya itu.
“Umur pun sudah 40 tahun, saya juga ada impian nak kahwin macam orang lain tapi saya lebih suka menggunakan pendekatan menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan.
“Saya sudah penat merancang kerana sebelum ini semua sudah tahu apa yang saya lalui dalam hubungan cinta.
“Jarang saya dedahkan hubungan cinta, saya lebih banyak bercakap soal kerjaya dalam industri tetapi sebagai orang yang dikenali, saya tak boleh nafikan ramai yang ingin tahu kisah cinta kami,” katanya.
Ditanya detik perkenalannya bersama Hana pula, Pablo berkata, mereka sudah berkenalan sekitar tiga bulan dan mula rapat pada Mac lalu.
“Kami sudah berkenalan lebih kurang tiga bulan, bulan puasa baru-baru ini bila kami dapat restu semua, barulah kami mula rapat.
“Kalau saya tak kongsikan di media sosial, maksudnya hubungan itu tidak serius tetapi kalau satu Malaysia sudah tahu, maknanya perkara ini serius,” katanya.
Terdahulu, Pablo memuat naik foto dan video romantis bersama Hana dan meluahkan rasa bahagia dan gembira di samping kekasihnya itu di Instagram.
Pada masa sama, Hana juga berkongsi detik romantis mereka ketika keluar meluangkan masa bersama-sama.
Sebelum ini, Hana Rose pernah mencipta kontroversi apabila bercinta dengan pemain bola sepak berasal dari utara yang bermain untuk pasukan Sabah.
Dia mendakwa dipukul oleh pemain terbabit sehingga mendapat perhatian ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




