mdroji@bh.com.my
Kuching: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak, merampas sebuah kapal dan lori tangki minyak dengan muatan 24,000 liter diesel yang disyaki cuba dijual ke pasaran gelap membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM10.2 juta.
Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Ab Rahman Mat Hasan berkata, rampasan dilakukan dalam serbuan di Jeti Lembaga Sungai Sungai Sarawak (LSS), di Kuala Baram Miri pada Isnin lalu.
Beliau berkata, serbuan dalam Op Taring Landai itu dilancarkan sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin, PPM Wilayah 5 Miri.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, didapati kapal tangki tersebut sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel bersama sebuah lori tangki.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati pemandu lori dan juragan kapal yang kedua-duanya warga tempatan gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki, menyimpan, membawa barang kawalan tanpa permit dan kebenaran khas dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan disiasat oleh KPDN.
“Juragan kapal turut melakukan kesalahan mengikut Sarawak River Ordinance 1993 (SRO), iaitu tiada master atau ked yang berkelayakan semasa beroperasi dan gagal mengemukakan River Transport Permit (RTP) ketika diperiksa serta kesalahan mengikut Merchant Shipping Ordinance 1960 (MSO), iaitu tidsk membawa lesen bot semasa beroperasi dan tiada Chief Engine Driver (CED) ketika beroperasi.
“Kes itu disiasat mengikut SRO dan diserah kepada LSS, manakala kes mengikut kesalahan MSO diserah kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya lagi, khususnya PPM Wilayah 5 Sarawak mengalu-alukan maklumat dan kerjasama orang awam dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk membanteras aktiviti penyelewengan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




