asyikin.mat@hmetro.com.my
TUGASAN ‘on-call’ yang memerlukannya berjaga malam dan kerap berjauhan dengan anak kecil membuatkan wanita ini menilai semula keseimbangan antara kerjaya serta keluarga.
Itu juga membuatkan beliau nekad memilih bidang lebih teratur dari segi waktu kerja iaitu bekerja di makmal.
Di situlah bermulanya langkah beliau memilih bidang mikrobiologi. Kini, selepas lebih 13 tahun dalam dunia akademik dan perubatan, beliau dilantik sebagai profesor serta berkhidmat sebagai Pakar Perunding Mikrobiologi Klinikal di Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).
Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, pada mulanya, beliau hanya ingin keluar daripada bidang anestesia, tetapi akhirnya jatuh cinta dengan mikrobiologi.
Beliau tertarik kerana bidang itu membolehkannya memahami makhluk kecil (mikroorganisma) ciptaan Allah SWT yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi mampu memberi impak besar terhadap kesihatan manusia.
“Pakar mikrobiologi klinikal bertugas di makmal hospital untuk mengenal pasti kuman seperti bakteria, virus, kulat dan protozoa daripada sampel pesakit.
“Di samping itu, menilai keberkesanan antibiotik terhadap kuman (terutama bakteria) dan mencadangkan rawatan paling sesuai kepada doktor di wad.
“Selain itu, terbabit dalam pemantauan kawalan jangkitan di hospital bagi mengelak jangkitan silang antara pesakit,” katanya.
Ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, baginya keistimewaan bidang berkenaan ialah peluang menyelami dunia mikroorganisma dan memahami bagaimana makhluk kecil itu hidup, berkembang serta tersebar.
“Daripada kefahaman ini, boleh merancang langkah pencegahan lebih berkesan. Apabila memahami cara jangkitan berlaku, barulah benar-benar mengetahui cara untuk menghalangnya.
“Lebih penting lagi, ilmu ini dapat dimanfaatkan secara langsung untuk membantu doktor di wad dalam memilih rawatan berkesan. Terutama apabila berhadapan jangkitan serius atau bakteria rintang antibiotik.
“Ini bukan sahaja mempercepat pemulihan pesakit, malah boleh menyelamatkan nyawa. Oleh itu, mikrobiologi klinikal bidang penting dan relevan dalam sistem penjagaan kesihatan moden,” katanya.
Dr Nurul Azmawati berkata, majoriti pakar mikrobiologi klinikal di Malaysia terdiri daripada wanita. Bidang ini sesuai kepada golongan berkenaan kerana gaya kerja fleksibel dan waktu pejabat teratur.
“Ini membolehkan wanita terus menyumbang dalam profesion perubatan sambil menyeimbangkan tanggungjawab terhadap keluarga.
“Cabaran utama bidang ini ialah mencari kaedah terpantas dan terbaik untuk mengenal pasti mikroorganisma supaya rawatan dapat dimulakan segera.
“Kemajuan teknologi sangat membantu namun masih banyak usaha yang perlu dilaksanakan terutama dalam menangani isu bakteria rintang antibiotik yang kian membimbangkan,” katanya.
Katanya lagi, sebagai wanita, cabaran tambahan ialah bagaimana memastikan suara dan pandangan mereka didengari serta dihormati terutama dalam proses membuat keputusan berkaitan rawatan dan pencegahan jangkitan.
“Selain itu, kami perlu kekal relevan dalam bidang akademik dan penyelidikan sambil menyeimbangkan peranan sebagai ibu, isteri dan masyarakat.
“Ia bukan mudah, tetapi dengan sokongan dan pengurusan masa yang baik, semuanya boleh dicapai,” katanya.
Dr Nurul Azmawati berkata, antara pengiktirafan diterima sepanjang kerjaya termasuk tersenarai sebagai Top 100 Penyelidik Usim, Anugerah Penyelidik Terbaik, Anugerah Buku Ilmiah Terbaik, Anugerah Staf Contoh Bulanan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.
Tambahnya, antara kenangan paling berharga dalam kerjayanya ialah ketika menghadapi pandemik Covid-19 yang mana beliau berpeluang menggunakan sepenuhnya ilmu dan kepakaran untuk membantu masyarakat serta negara pada saat genting.
Beliau berkata, antara sumbangan utamanya ialah membantu beberapa makmal swasta menubuhkan perkhidmatan ujian ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) ketika negara menghadapi kekurangan fasiliti makmal dan lonjakan kes mendadak.
“Saya terbabit secara langsung dalam pelbagai kajian termasuk kajian makmal dan klinikal ke atas penggunaan cecair kumur.
“Selain kajian soal selidik yang menilai tahap pengetahuan masyarakat mengenai Covid-19 dan kesediaan mereka menerima vaksin,” katanya.
Malah, beliau terbabit memperkenalkan beberapa inovasi seperti penghasilan swab menggunakan teknologi percetakan tiga dimensi (3D) dan kotak kebersihan tangan iaitu alat pendidikan interaktif yang direka khusus untuk mengajar kanak-kanak tadika mengenai kepentingan serta kaedah mencuci tangan yang betul.
“Saya aktif adakan ceramah dan program kesedaran Covid-19, vaksin melalui pelbagai saluran termasuk media sosial, webinar, televisyen serta akhbar.
“Di samping itu, saya hasilkan buku dan siri video kesedaran untuk mendidik masyarakat,” katanya.
Menurutnya, pandemik Covid-19 bukan sahaja mencabar, tetapi menjadi titik lonjakan kerjayanya.
“Saya berjaya memperoleh beberapa geran penyelidikan, diberi peluang muncul di media arus perdana dan menghasilkan hampir 10 artikel jurnal berkaitan Covid-19 yang banyak dirujuk di peringkat antarabangsa.
“Malah, saya bersyukur dapat menyumbang sesuatu yang bermakna ketika negara amat memerlukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




