Pelantun lagu popular ‘Senyum’ iaitu Aziz Harun mengaku keputusan untuk menetap di Malaysia sejak dua tahun lalu adalah tepat.
Kata Aziz, selain lebih efisien ia juga lebih mudah untuk menguruskan kerjaya seninya.
“Saya pindah ke sini sejak dua tahun lepas. Kerana di Brunei, saya rasa memang susah sedikit untuk saya bekerja.
“Lagipun, semua benda kalau nak buat melalui Zoom, Whatsapp, video call, memang tidak efisien. Dan saya rasa untuk berjumpa dengan kawan-kawan media seperti face-to-face pun lebih senang. Itulah sebab Aziz berpindah ke Malaysia,” ulasnya.
Aziz berkata demikian ketika ditemui usai majlis pelancaran Latihan Pestapora Malaysia yang diadakan di The Campus, Ampang baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perniagaan dari University of East Anglia, United Kingdom (UK) ini juga mendedahkan dia kini lebih fokus dan semakin aktif berkarya.
“Perkembangan muzik di sini lepas pindah pun lebih lancar. Alhamdulillah.
“Lepas saya habis belajar hari itu. Dah dapat visa duduk sini betul-betul. Dapat fokus betul-betul dalam studio.
“Dan berkarya apa semua. Alhamdulillah. It’s been good. The momentum has been there,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aziz Harun antara artis yang akan terlibat dalam menjayakan Latihan Pestapora Malaysia yang akan berlangsung pada 26 Julai 2025.
Selain Aziz, Naki, Bunkface, Bittersweet, Dolla, Yonnyboi, Kunto Aji, Pamungkas dan ramai lagi artis tempatan dan Indonesia bakal menggegarkan latihan Pestapora Malaysia.




